Langgar kontrak, Nestle diarah bayar firma keselamatan RM4 juta

shah alam court
Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan dua syarikat Nestle bayar ganti rugi RM3,891,744.42, ganti rugi teladan RM30,000, serta kos RM50,000 kepada Uppal Aimed Guard Security Sdn Bhd.

SHAH ALAM: Sebuah firma keselamatan dianugerahkan ganti rugi hampir RM4 juta selepas Mahkamah Tinggi memutuskan penamatan kontrak oleh Nestle Products Sdn Bhd dan Nestle Manufacturing (Malaysia) Sdn Bhd melanggar kontrak.

Hakim Shoba Rajah Dorai Rajah, mendapati defendan menamatkan perjanjian perkhidmatan keselamatan dengan Uppal Aimed Guard Security Sdn Bhd secara menyalahi undang-undang.

Mahkamah menganugerahkan ganti rugi RM3,891,744.42, ganti rugi teladan RM30,000, serta kos RM50,000 kepada firma keselamatan itu.

Uppal diwakili peguam Gobinath Mohanna dan P Taneswaran, manakala Dawn Wong bertindak bagi pihak Nestle.

Menurut pernyataan tuntutan, Uppal memeterai perjanjian dengan Nestle pada 25 Julai 2022 untuk membekalkan pengawal keselamatan di lima premis syarikat makanan dan minuman berkenaan.

Pengawal keselamatan mula ditempatkan pada 1 Ogos 2022, termasuk di ibu pejabat korporat Nestle di Bandar Utama.

Uppal mendakwa pada 16 Ogos, pengurus keselamatan Nestle telah mengarahkan syarikat itu menggantikan tiga pengawal warga Nepal berpengalaman dengan pekerja asing baharu tiba, namun mereka tidak mempunyai pengalaman kerja di Malaysia.

Firma tersebut menyatakan permintaan itu di luar terma perjanjian mereka.

Uppal mematuhi arahan itu dan membekalkan lima pengawal baharu, di mana Nestle memilih tiga daripadanya meskipun dua daripada mereka masih menunggu kelulusan permit kerja. Firma keselamatan terbabit menegaskan pengawal tersebut berada di Malaysia secara sah dan sedang dalam proses mendapatkan permit sah.

Nestle kemudiannya mendakwa pengawal berkenaan tidak mempunyai permit kerja sah, lalu menggantung perkhidmatan Uppal di tapak Bandar Utama serta menghalang pengawal itu daripada memasuki premis.

Uppal tawar untuk menggantikan pengawal tersebut, namun Nestle menolak cadangan mereka.

Pada 7 Nov 2022, Nestle menamatkan perkhidmatan Uppal di kawasan Bandar Utama serta-merta dan menamatkan perkhidmatan di empat premis selebihnya bersama notis tiga bulan, atas alasan pelanggaran kontrak.

Uppal berhujah, penamatan tersebut menyalahi undang-undang, dilaksanakan dengan niat jahat, dan berdasarkan dakwaan tidak benar bahawa pengawal terbabit merupakan pendatang asing tanpa izin.

Ketiga-tiga pengawal itu kemudiannya telah dikeluarkan permit kerja berkuat kuasa secara retroaktif. Uppal menyatakan Nestle menyedari proses imigresen tersebut sepanjang masa ia berjalan.

Firma itu seterusnya mendakwa, Nestle gagal mematuhi peruntukan penyelesaian pertikaian dan peruntukan pemulihan dalam perjanjian, yang memerlukan notis dan peluang membetulkan sebarang dakwaan pelanggaran sebelum penamatan dilakukan.

Author: admin