
PETALING JAYA: Bekas ketua menteri Sabah mengkritik Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Alexander Nanta Linggi berhubung penggunaan perkataan ‘cerai’ apabila menyuarakan kekecewaan terhadap pertengkaran dan perbalahan politik di Semenanjung.
Salleh Said Keruak berkata, penggunaan perkataan tersebut dalam membincangkan kedudukan Sarawak dalam Malaysia adalah ‘tidak perlu dan tidak membina’.
“Malaysia akan terus bergerak ke hadapan apabila para pemimpin mengutamakan dialog, rasa hormat dan kewarasan berbanding bahasa yang bersifat emosional,” katanya menerusi hantaran Facebook.
Semalam, Nanta yang juga menteri kerja raya dilaporkan berkata, Sarawak dan rakyatnya tidak seharusnya dipersalahkan dalam serba-serbi hal apabila memperkatakan tentang ‘formula Sarawak’.
Beliau berkata, isu berkaitan kaum dan agama penting di Sarawak, dan ia diselesaikan secara harmoni melalui rundingan, manakala di Semenanjung, ‘kamu bertengkar tentang segala-galanya’.
“… jika kita terus bertengkar tanpa henti, jangan salahkan Sarawak jika kami memilih untuk menjaga diri kami sendiri. Jika kamu tidak suka kami, ceraikan kami. Sudahlah,” katanya.
Salleh, bekas ketua menteri Sabah dari 1994 hingga 1996 berkata, perbezaan pandangan dan kritikan membina harus diiktiraf sebagai ‘sebahagian amalan demokrasi yang sihat, bukan ditafsir sebagai ancaman kepada perpaduan’.
“Perpaduan sebenar tidak dibina dengan menutup perbezaan, tetapi dengan menangani perbezaan secara bijaksana, seimbang dan berteraskan tujuan bersama – demi membawa Malaysia melangkah ke hadapan bersama,” katanya.
