Hari Keselamatan Internet 2026 perkasa pengetahuan keselamatan siber

Bukhari Yahya
Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri SKMM Bukhari Yahya berkata, pelbagai agensi dan rakan strategik termasuk polis serta NSRC turut buka reruai pada Hari Keselamatan Internet 2026 8 Feb ini di Tasik Titiwangsa. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Keselamatan Internet 2026 pada 8 Feb ini akan menumpukan kepada usaha memperkukuh peranan ibu bapa dalam mengawal penggunaan internet anak-anak selain meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap ancaman jenayah siber.

Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Bukhari Yahya berkata, acara komuniti berskala besar di Tasik Titiwangsa itu akan diisi dengan pelbagai program pendidikan keselamatan digital bagi membantu orang ramai memahami kaedah melindungi diri serta keluarga dalam talian.

Beliau berkata, sambutan kali ini berbeza berbanding program sebelum ini kerana SKMM akan membawa pasukan teknikal dan pakar bagi membantu pengunjung secara langsung menetapkan ciri keselamatan pada peranti masing-masing termasuk penggunaan aplikasi kawalan ibu bapa.

“Kalau kita lihat program yang dibuat sebelum ini, (hanya) dengar taklimat, tetapi kali ini agak berbeza. Kita akan sediakan pasukan teknikal yang akan membantu pengunjung bagaimana untuk tetapkan ciri keselamatan telefon (misalnya) kawalan ibu bapa dan sebagainya.

“Kita juga ada penyedia platform seperti TikTok, Google, Facebook. Kadang-kadang, bila kita (ibu bapa) buka Facebook, ada aplikasi berkaitan dengan penetapan kawalan ibu bapa, tetapi tidak tahu bagaimana hendak buat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara – Hari Keselamatan Internet 2026: Internet Selamat, Tanggungjawab Bersama terbitan Bernama TV malam tadi.

Bukhari berkata, pelbagai agensi dan rakan strategik termasuk polis serta Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) turut membuka reruai bagi memberi pendedahan mengenai isu semasa jenayah siber termasuk kaedah penipuan terkini serta langkah yang perlu diambil sekiranya menjadi mangsa.

Melalui pendedahan itu, katanya, orang ramai dapat mempelajari cara mengenal pasti tawaran mencurigakan, kaedah menyemak kesahihan maklumat serta saluran yang boleh dirujuk bagi membuat laporan sekiranya berlaku penipuan.

Selain itu, Bukhari berkata, program itu juga akan menyaksikan pelancaran rasmi Kempen Internet Selamat 2026 yang kali ini diperluas kepada komuniti serta golongan belia, berbeza dengan pendekatan tahun sebelumnya yang memberi tumpuan kepada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.

“Kempen ataupun program keselamatan internet, kita telah memulakan saban tahun. Tahun lepas, fokus lebih kepada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi tetapi tahun ini, kita akan luaskan lagi kempen merangkumi komuniti dan belia,” katanya.

Author: admin