
PETALING JAYA: Sebanyak 54,791 warga asing telah diambil tindakan penguatkuasaan bagi tempoh 2025 hingga pertengahan bulan ini kerana menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial atau kelonggaran visa, untuk bekerja di Malaysia, kata Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil.
Fahmi berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak 51,100 individu direkodkan sepanjang tahun lepas, manakala 3,691 orang setakat pertengahan bulan ini.
“Walaupun kemasukan mereka itu adalah atas sebab sosial sama ada untuk melawat, pergi melancong tapi akhirnya, rupa-rupanya ada elemen-elemen pekerjaan yang telah dikesan,” katanya.
Katanya, perkara itu dimaklumkan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, lapor Bernama.
Susulan itu, kata Fahmi, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mahu tindakan penguatkuasaan tegas diambil terhadap warga asing yang menyalahgunakan pas berkenaan untuk bekerja di Malaysia.
