Chegubard, Nurpais Ismail tak sedar saman Farhash, kata peguam

Rafique Rashid
Peguam Rafique Rashid Ali, berkata anak guamnya akan ‘mengambil tindakan lanjut’ susulan perintah Mahkamah Tinggi untuk bayar ganti rugi fitnah RM550,000 kepada ahli perniagaan, Farhash Wafa Salvador.

PETALING JAYA: Badrul Hisham Shaharin daripada Bersatu dan pencipta kandungan, Nurpais Ismail, mendakwa tidak menyedari mengenai saman fitnah oleh Farhash Wafa Salvador, sehinggalah dimaklumkan keputusan mahkamah yang memberikan ganti rugi RM550,000 kepada ahli perniagaan itu.

Peguam mereka, Rafique Rashid Ali, berkata keduanya terkejut apabila membaca laporan mengenai keputusan mahkamah tersebut.

“Mereka hanya mengetahui mengenai kewujudan saman berkenaan selepas menerima pelbagai mesej dan juga laporan media yang dikongsikan kenalan mereka.

“Mereka menegaskan bahawa tidak pernah menerima saman tersebut atau mengetahui tentang kewujudannya. Kami telah menasihati mereka mengenai hak-hak mereka, dan kedua-duanya akan mengambil tindakan lanjut berhubung perkara ini,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Apandi memutuskan bahawa kenyataan dibuat Badrul dalam sebuah audio siar tahun lalu telah menggambarkan Farhash sebagai seorang yang korup, manipulatif, dan tidak layak memegang jawatan profesional serta politiknya.

Beliau berkata, Badrul, yang juga dikenali sebagai Chegubard, dan Nurpais telah bertindak dengan niat jahat, dengan Badrul menyampaikan kenyataan itu seolah-olah sebagai fakta, manakala Nurpais menambah impak kenyataan itu melalui tajuk sensasi dan eksploitasi komersial, walaupun telah menerima notis pada Mei tahun lalu untuk memadam video berkenaan.

Badrul dan Nurpais tidak hadir ke mahkamah.

Dalam samannya, Farhash mendakwa Badrul dan Nurpais telah menerbitkan pelbagai kenyataan, video dan posting di Facebook, TikTok dan YouTube pada Mei tahun lalu yang bersifat palsu, fitnah, dan berniat jahat.

Beliau mendakwa penerbitan itu menuduhnya melakukan rasuah, penyalahgunaan kuasa, kronisme, salah guna pengaruh politik, serta urusan tidak wajar berkaitan kontrak kerajaan dan tokoh politik.

Author: admin