Wan Fayhsal desak Muhyiddin letak jawatan presiden Bersatu

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
Ahli MPT Bersatu yang digantung, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, luah kekecewaan atas tindakan presiden partinya, Muhyiddin Yassin.

PETALING JAYA: Seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang digantung mendesak Presiden Muhyiddin Yassin meletak jawatan ekoran dakwaan partinya dan PAS bersetuju menghapuskan jawatan tertinggi dalam Perikatan Nasional (PN).

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal meluahkan kekecewaan terhadap tindakan Muhyiddin yang menurutnya mencemarkan imej PN dan merenggangkan hubungan Bersatu dengan rakan komponen dalam gabungan itu, khususnya PAS.

Beliau berkata, walaupun Muhyiddin mungkin tidak dikenakan tindakan tatatertib memandangkan beliau presiden, bekas perdana menteri itu harus bertanggungjawab atas isu tersebut.

“Saya sekali lagi memohon dengan penuh rasa tanggungjawab untuk Muhyiddin berundur secara terhormat sebagai presiden Bersatu demi kelangsungan (parti) dan PN,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Semalam, menurut surat yang tersebar, Muhyiddin mendakwa Bersatu dan PAS setuju memansuhkan jawatan pengerusi PN, sebagai sebahagian penstrukturan semula gabungan pembangkang itu, ketika mesyuarat pada 16 Jan lepas.

Beliau mendakwa, dalam mesyuarat tersebut, kedua-dua parti mempersetujui penstrukturan semula PN, dengan Bersatu memimpin Majlis Presiden manakala Jawatankuasa Eksekutif diterajui PAS.

Menurut Muhyiddin, antara pemimpin PAS yang menghadiri mesyuarat itu termasuk Presiden Hadi Awang, Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan.

Bagaimanapun, katanya, beliau dimaklumkan pada 24 Jan bahawa Takiyuddin, yang juga timbalan setiausaha agung PN, mengeluarkan notis mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi gabungan itu untuk membincangkan pelantikan pengerusi baharu.

Beliau berkata, agenda itu tidak selari dengan persetujuan yang dicapai oleh pimpinan Bersatu dan PAS dalam pertemuan pada 16 Jan.

“Inilah sebab mengapa mesyuarat yang dijadualkan pada 29 Jan dibatalkan,” katanya.

Kerusi pengerusi PN masih belum diisi ekoran peletakan jawatan Muhyiddin berkuat kuasa 1 Jan.

Susulan itu, Hadi, Tuan Ibrahim dan Takiyuddin tampil menafikan dakwaan Muhyiddin.

Terdahulu, Wan Fayhsal digantung keahlian pada Oktober kerana melanggar perlembagaan dan kod etika parti.

Author: admin