MoF teliti kesesuaian keluar caruman KWSP untuk MHIT

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata MoF sentiasa terima cadangan untuk penambahbaikan sistem insurans dengan projek rintis MHIT Asas akan menguji penerimaan masyarakat. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MoF) masih berbincang dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi meneliti konsep Pelan Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) Asas boleh diterima sebagai sebahagian produk dibenarkan untuk pengeluaran oleh pencarum.

Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, berkata MoF menjangkakan menerusi pendekatan ini serta sokongan semua pihak, satu sistem lebih baik dan menyokong sistem kesihatan kerajaan dapat diwujudkan.

“Jadi, insurans asas ini penting untuk memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat,” katanya pada waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) berhubung kesediaan kerajaan membenarkan pembeli insurans menggunakan wang caruman KWSP.

Amir Hamzah berkata, menerusi produk insurans sedia ada, sebagai langkah permulaan, MoF menjangkakan satu kaedah untuk mengawal kenaikan kos dengan memasukkan konsep pembayaran bersama.

“Pembayaran bersama ini bukan bertujuan mengenakan bayaran tinggi, tetapi untuk memastikan ketelusan harga serta pihak menyediakan insurans bertanggungjawab mengawal kos perkhidmatan kesihatan.

“Dengan adanya mekanisme ini, kawalan dari segi penerima dan penyedia perkhidmatan menjadi lebih baik.”

Menurutnya, MoF sentiasa menerima cadangan orang ramai untuk penambahbaikan sistem insurans dengan projek rintis MHIT Asas bermula Jun ini akan menguji penerimaan masyarakat.

“Melalui projek rintis ini, kita akan menguji penerimaan dan setakat ini, kumpulan sasaran menunjukkan sambutan baik.”

Menjawab pertanyaan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu), jelasnya, Bank Negara sebagai agensi kawal selia industri insurans akan membuka penyertaan skim asas MHIT kepada semua pengendali insurans dan takaful ITO.

Katanya, pelan MHIT asas akan ditawarkan kepada semua syarikat insurans pada harga sama.

“Ia produk asas yang dibuat untuk industri. Semua ITO akan menggunakan harga sama kerana kita mahu premium lebih telus dan risiko dikongsi bersama. Dengan peluasan skop dan penyertaan lebih ramai, premium dalam sistem ini boleh dikurangkan lagi.”

Author: admin