
KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen pembangkang menggesa Kementerian Pertahanan (Kementah) agar menjelaskan keputusannya melantik Nizam Jaffar, bekas panglima angkatan tentera yang terlibat dalam skandal rasuah, tahun lepas.
Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) menegaskan, Nizam malah tidak pernah dilantik sebagai panglima tentera.
“Jika dalam terma tentera, beliau ini tiada ‘currency’ atau nilai ‘command’ dalam kepimpinan atasan ATM (Angkatan Tentera Malaysia),” katanya ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat.
“Apakah asas dan justifikasi oleh MAT (Majlis Angkatan Tentera) sehingga beliau dipilih sebagai panglima angkatan tentera, melangkau terlalu ramai panglima, sedangkan beliau tiada pengalaman memegang tanggungjawab besar sebelum ini?
Pada 31 Jan 2025, Nizam yang ketika itu penolong ketua staf perkhidmatan kakitangan ATM dilantik sebagai panglima angkatan tentera ke-23, menggantikan Mohammad Ab Rahman.
Nizam turut dinaikkan pangkat daripada leftenan jeneral kepada jeneral.
Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai komandan Kolej Pertahanan Nasional, pengarah pengurusan latihan Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat, dan panglima Briged Infantri Kedua Tentera Darat Malaysia.
Pelantikan beliau menyimpang dari tradisi apabila panglima angkatan tentera tidak dipilih dalam kalangan panglima tentera darat, laut, dan udara.
Ikmal Hisham, yang juga bekas timbalan menteri pertahanan, turut menggesa MAT mengesahkan sama ada mereka yang dipertimbangkan untuk jawatan utama telah melalui proses tapisan, menyatakan bahawa individu-individu ini terdedah ‘kepada pemerasan ataupun ancaman dari dalam atau luar’.
Beliau turut menyarankan rombakan dalam proses perolehan tentera, menegaskan bahawa pemusatan kuasa membuat keputusan di bawah panglima angkatan tentera perlu dikurangkan, dan mekanisme semak dan imbang yang sewajarnya harus dilaksanakan.
Ahli Parlimen Bersatu itu mencadangkan supaya satu jawatankuasa khas, sama ada pada peringkat kementerian atau angkatan tentera, menyelia perolehan aset ketenteraan dan pemberian tender bernilai tinggi.
Minggu lepas, Nizam mengaku tidak bersalah di mahkamah sesyen atas empat tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan menerima rasuah, membabitkan lebih RM3.75 juta.
