57 kanak-kanak antara 138 warga asing mangsa buruh paksa diselamatkan

m kumar
Pengarah JSJ Bukit Aman M Kumar berkata indikator buruh paksa dan pemerdagangan orang dikenal pasti termasuk kawalan pergerakan, pengurungan, kondisi kerja dan tempat tinggal yang terabai serta kerja lebih masa melampau. (Gambar PDRM)

PETALING JAYA: Polis menyelamatkan 138 warga asing termasuk 57 kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun yang menjadi mangsa pemerdagangan orang dan dieksploitasi menjadi buruh paksa menerusi Op Pintas Khas yang dilancarkan serentak di seluruh negara, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman M Kumar, berkata mangsa diselamatkan terdiri daripada 58 lelaki dan 23 wanita berusia 18 hingga 51 tahun, selain 39 kanak-kanak lelaki serta 18 kanak-kanak perempuan termasuk seorang kanak-kanak lelaki orang kurang upaya.

Katanya, mangsa membabitkan pelbagai warganegara iaitu lapan rakyat Malaysia, lapan Filipina, 34 Indonesia, 13 Bangladesh dan 75 Myanmar.

“Sebanyak 77 serbuan dilaksanakan di seluruh negara dengan pecahan 12 serbuan sektor perkilangan, 19 serbuan sektor perladangan, 41 serbuan sektor perkhidmatan atau perniagaan dan lima serbuan lain-lain sektor.

“Indikator buruh paksa dan pemerdagangan orang yang dikenal pasti termasuk eksploitasi kerentanan, pemerdayaan, kawalan pergerakan, pengurungan, penahanan dokumen identiti, penahanan gaji, kondisi kerja dan tempat tinggal yang terabai serta kerja lebih masa melampau,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, dalam operasi itu seramai 67 individu terdiri 42 warga tempatan dan 25 warga asing berusia 30 hingga 69 tahun yang disyaki majikan serta penyelia mangsa turut ditahan.

Kumar berkata, operasi tersebut dilaksanakan Bahagian D3 JSJ Bukit Aman dengan kerjasama NSO MAPO Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen, Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Kesihatan, Jabatan Alam Sekitar serta pihak berkuasa tempatan.

Menurutnya, fokus operasi adalah bagi mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang (eksploitasi buruh) khususnya di sektor perladangan kelapa sawit, pembuatan sarung tangan getah dan lain-lain.

Katanya, mangsa diselamatkan di bawah Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk tanpa pas sah, tinggal lebih tempoh dibenarkan serta mengambil pekerja tanpa pas kerja sah.

Author: admin