
PETALING JAYA: Lima individu direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkait kes rasuah dan pengubahan wang membabitkan rangkaian pusat urut terkemuka.
Sumber SPRM menyatakan, agensi antirasuah itu dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sedang menyiasat rangkaian pusat urut tersebut yang mempunyai 32 cawangan di seluruh negara dan disyaki beroperasi sejak 2023 kerana didakwa mengamalkan sistem perakaunan dua lapisan.
Sumber itu berkata, kebanyakan jualan tunai syarikat tersebut tidak dilaporkan, mengakibatkan anggaran ketirisan cukai kira-kira RM7.56 juta setahun.
Siasatan juga menemui bukti bayaran rasuah kepada pegawai penguat kuasa dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memudah cara operasi syarikat serta sebagai wang perlindungan, kata sumber itu.
SPRM bertindak membekukan kira-kira RM11.5 juta dalam 121 akaun bank peribadi dan korporat berkaitan syarikat berkenaan.
Turut disita lima premis komersial bernilai kira-kira RM7.3 juta, dua hartanah industri bernilai kira-kira RM2.3 juta, tujuh hartanah kediaman dengan sekitar RM7.7 juta, serta lima kenderaan mewah berharga kira-kira RM1.5 juta.
Sumber itu berkata, aset tersebut terletak di Lembah Klang dan Johor, dipercayai merupakan hasil aktiviti pengubahan wang.
Suspek terdiri pengarah syarikat dan kakitangan pengurusan kanan beberapa entiti perniagaan, berusia 30 hingga 50 tahun, ditahan di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya, semalam.
Hari ini, Majistret Ezrene Zakariah membenarkan reman empat hari terhadap empat suspek sehingga 31 Jan, manakala seorang lagi suspek direman tiga hari sehingga 30 Jan.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Zamri Zainul Abidin mengesahkan siasatan sedang dijalankan.
