Menteri seru pendekatan ‘lebih rahmah’, elak polemik boikot zakat di Selangor

Zulkifli Hasan
Zulkifli Hasan lancar Indeks Malaysia Negara Rahmah 2025 yang disediakan Persatuan Ikram Malaysia (IKRAM).

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan menyeru orang ramai mengambil pendekatan ‘lebih rahmah” dan mengelakkan ajakan negatif susulan polemik seruan kononnya umat Islam di Selangor tidak perlu membayar zakat.

Beliau berkata pendekatan sedemikian penting bagi memastikan masyarakat tidak terheret kepada perkara yang boleh menimbulkan suasana tidak harmoni.

“Saya menasihatkan kepada semua supaya kita mengambil pendekatan lebih rahmah iaitu kita mengajak kepada kebaikan dan kita tidak ingin melihat perkara-perkara yang tidak baik,” katanya.
selepas melancarkan Indeks Malaysia Negara Rahmah 2025 (IMNR 2025).

Gesaan itu tular di media sosial susulan isu pencerobohan tanah perkuburan Islam di PJS4 yang dikaitkan dengan dua kuil dan sebuah gurdwara.

Bagaimanapun Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor Fahmi Ngah berkata semakan bersama Pejabat Tanah Petaling dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mendapati lokasi itu tidak pernah dicadangkan lokasi tapak surau.

Ia sekali gus menafikan dakwaan seorang individu yang tular di media sosial mengenai kewujudan tapak ganti kononnya melibatkan perubahan status kegunaan tanah daripada cadangan tapak surau kepada tapak Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI).

Fahmi turut menjelaskan tapak berkenaan juga bukan lokasi ganti kepada binaan kuil dan gurdwara yang menceroboh tanah perkuburan Islam.

Ia sekali gus menafikan dakwaan seorang individu yang tular di media sosial mengenai kewujudan tapak ganti kononnya melibatkan perubahan status kegunaan tanah daripada cadangan tapak surau kepada tapak Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI).

Dalam perkembangan berasingan, Zulkifli turut menyambut baik pelaksanaan IMNR 2025 oleh Persatuan Ikram Malaysia (IKRAM) yang boleh dijadikan rujukan.

“Bukan sahaja oleh kerajaan malah pihak berkepentingan bagi menilai sejauh mana dasar serta amalan dilaksanakan selari dengan konsep rahmah,” katanya.

Sementara itu, Presiden IKRAM Badlishah Sham Baharin berkata IMNR berperanan sebagai cerminan maklum balas rakyat dan panduan tambah baik dasar.

“Orang ramai boleh puji dan tegur bagi menilai sama ada impak dasar kerajaan benar-benar dirasai masyarakat.

“Edisi 2025 turut menggunakan kaedah temu bual selain disusun semula dalam tiga dimensi utama iaitu politik, ekonomi dan sosial,” katanya.

Author: admin