Wang RM285,000 lesap, doktor diperdaya ‘phone scam’ menyamar polis

Mangsa membuat pinjaman daripada institusi kewangan sebelum diarah melakukan beberapa transaksi pemindahan wang kepada tujuh akaun bank membabitkan 12 transaksi, kata polis.

PETALING JAYA: Seorang doktor lelaki di sebuah hospital di Pahang kerugian RM285,000 selepas terpedaya menerusi sindiket ‘phone scam’ yang menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, berkata berdasarkan laporan semalam, mangsa berusia 31 tahun menerima panggilan telefon daripada beberapa individu pada 31 Disember lalu.

Katanya, individu yang membuat panggilan itu memperkenalkan diri sebagai wakil Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis.

“Suspek kemudiannya mendakwa mangsa terbabit dalam kes mengubah suai meter elektrik, pengubahan wang haram serta aktiviti penipuan digital.

“Kononnya bagi tujuan siasatan, mangsa diarah untuk terus berhubung dengan suspek serta diminta melaporkan pergerakan harian.

“Mangsa kemudiannya diarah membuat pinjaman kewangan kononnya bagi tujuan siasatan bersama pihak bank,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Harian Metro.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya membuat pinjaman daripada institusi kewangan sebelum diarah melakukan beberapa transaksi pemindahan wang kepada tujuh akaun bank membabitkan 12 transaksi.

Katanya, lelaki terbabit turut diarah membeli 35 keping resit `Razer Gold Top Up’ dan menyerahkan nombor pin kepada suspek.

“Mangsa mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM285,000 iaitu wang simpanan peribadi dan pinjaman bank.

“Dia hanya menyedari ditipu selepas diminta menyerahkan sejumlah wang tambahan dan gagal menghubungi suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Justeru, Yahaya menasihatkan orang ramai membuat pengesahan dengan polis atau pihak berkaitan sekiranya menerima sebarang panggilan mencurigakan.

“Orang ramai dinasihatkan jangan panik apabila menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang mendakwa daripada agensi penguat kuasa atau institusi utiliti dan kewangan.

“Buat semakan terlebih nombor akaun di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat sebarang transaksi.

“Mereka yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan diminta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” katanya.

Author: admin