
PETALING JAYA: Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) diletakkan di bawah Kementerian Sumber Manusia berkuat kuasa serta-merta, kata menterinya, R Ramanan.
Ramanan berkata langkah itu dibuat susulan keputusan dalam mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini, dan pewartaan penukaran penugasan berkenaan akan diselesaikan dalam tempoh seminggu, lapor Berita Harian.
Biarpun sebelum ini Mitra berada di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri, beliau berkata tanggungjawab pemantauan dan seliaan diletakkan pada Ahli Parlimen atau timbalan menteri dalam kalangan kaum India.
“Isunya satu, dana diguna pakai dengan betul dan membawa manfaat paling besar bagi masyarakat India, khususnya golongan B40,” katanya yang dipetik sebagai berkata.
Ramanan berkata keputusan itu boleh mengundang konflik jika pihak yang dipertanggungjawabkan untuk memantau dan mengawal selia tidak mengikut tatakelola yang ditetapkan.
Atas sebab itu, Ramanan berkata, beliau bersama pasukan akan melaksanakan setiap program yang dirancang dengan mematuhi tatakelola serta syarat ditetapkan.
Katanya, semua program dilaksanakan Mitra perlu diuar-uarkan melalui laman sesawangnya bagi memudahkan pihak berkepentingan tahu mengenainya, termasuk nama penerima bantuan bagi semakan.
“Unit Komunikasi Korporat juga sudah diarah untuk uar-uarkan segala usaha berkenaan di media massa,” katanya.
Mitra ditubuhkan pada 2008 sebagai Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India. Sejak penjenamaan semula pada 2018, ia diletakkan sama ada di bawah Kementerian Perpaduan Negara atau Jabatan Perdana Menteri.
Ramanan pernah berkhidmat sebagai pengerusi jawatankuasa khas Mitra dari 2023 hingga 2024 sebelum dilantik sebagai timbalan menteri. Pengerusi Mitra ketika ini ialah Ahli Parlimen Batu dari PKR, P Prabakaran.
