Mediasi gagal, saman fitnah Na’im terhadap Wan Azri dibicara

Mohd Na’im Mokhtar menyaman Wan Muhammad Azri Wan Deris kerana didakwa menerbitkan hantaran yang memfitnahnya di Facebook pada 18 Sept 2023.

PETALING JAYA: Kes saman fitnah bekas menteri agama Mohd Na’im Mokhtar terhadap penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris diteruskan dengan perbicaraan penuh selepas gagal diselesaikan melalui proses mediasi.

Proses mediasi itu berlangsung hari ini di hadapan Hakim Kenneth Yoong Ken Chinson St James yang dihadiri Na’im dan Wan Azri, lapor Harian Metro.

Peguam Akberdin Abdul Kader yang mewakili Na’im berkata tarikh perbicaraan yang sebelum ini ditetapkan pada 21 dan 24 Sept di Mahkamah Tinggi akan diteruskan.

Katanya, hakim turut menetapkan pengurusan kes pada 6 Mac untuk kedua-dua pihak memaklumkan sekiranya terdapat penyelesaian.

Wan Azri diwakili peguam Logen Eskandar Abdullah.

Na’im yang memfailkan saman itu pada 19 Okt 2023 mendakwa, Wan Azri menerbitkan satu hantaran berkaitan dengannya di akaun Facebook ‘Sir Azri’ bertarikh 18 Sept 2023.

Menurutnya, dalam hantaran Facebook itu, Wan Azri memuat naik satu klip video berdurasi enam minit 41 saat, yang diambil daripada akaun TikTok @nurhafizulbadrulhisham.

Na’im mendakwa, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud dirinya selaku menteri agama tidak mengambil sebarang tindakan positif bagi kesejahteraan agama Islam, memandangkan beliau kononnya mempunyai kes berkaitan tuduhan seksual atau lucah

Justeru, Na’im didakwa seorang penunggang agama yang tidak cakna dengan kestabilan masyarakat Melayu beragama Islam di Malaysia.

Beliau mendakwa kenyataan fitnah tersebut menjejaskan reputasi, merosakkan martabat, menjatuhkan maruah dan merendahkan statusnya di mata masyarakat umum.

Author: admin