Mahkamah Tinggi tolak dengar cabaran ‘pengislaman sepihak’ wanita

seremban court
Mahkamah Tinggi Seremban tolak saman seorang wanita terhadap Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan dua lagi pihak untuk dapat deklarasi beliau tidak pernah beragama Islam. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang wanita yang mendakwa bapanya mengislamkannya secara sepihak ketika berusia empat tahun gagal mencabar tindakan tersebut di mahkamah sivil, selepas Mahkamah Tinggi Seremban memutuskan mahkamah itu tiada bidang kuasa mendengar kes itu.

Menerusi keputusan yang disampaikan secara dalam talian, Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris berkata, saman wanita berusia 47 tahun itu ‘bukanlah kes di mana beliau tidak pernah beragama Islam’.

Beliau turut mengarahkan wanita itu membayar kos keseluruhan sebanyak RM4,000 kepada responden, iaitu Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan kerajaan.

Peguamnya, S Karthigesan berkata, keputusan itu memberi gambaran bahawa anak guamnya perlu ke mahkamah syariah untuk keluar daripada agama Islam.

“Pendirian kami ialah beliau tidak pernah beragama Islam,” katanya kepada FMT, sambil memaklumkan rayuan akan dikemukakan.

Peguam AR Thamayanthy turut mewakili wanita itu dalam prosiding berkenaan, sementara peguam Zainul Rijal Abu Bakar mewakili pihak berkuasa agama negeri, manakala Peguam Kanan Persekutuan Amalina Zainal Mokhtar mewakili JPN dan kerajaan.

Pada 2024, pesuruhjaya kehakiman ketika itu Haldar Abdul Aziz ketika membatalkan saman itu memutuskan, mahkamah sivil tiada kuasa mendengar kes wanita terbabit memandangkan ia terletak di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan tahun lepas mengembalikan saman pemula wanita itu dan mengarahkan Mahkamah Tinggi mendengar merit kes bagi menentukan sama ada ia melibatkan individu yang tidak pernah memeluk Islam atau isu keluar agama.

Dalam saman itu, wanita tersebut mendakwa bapanya mengislamkannya secara sepihak ketika beliau berusia empat tahun, selepas bapanya memeluk Islam.

Wanita itu yang kini ibu dua anak berkata, beliau dibesarkan oleh ibu saudaranya dan tidak pernah mengucap dua kalimah syahadah mahupun mengamalkan cara hidup Islam.

Beliau memohon pengisytiharan bahawa beliau tidak pernah beragama Islam, dan mahu JPN menggugurkan perkataan ‘Islam’ daripada kad pengenalannya.

Author: admin