
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan setuju cadangan menambah baik kurikulum latihan pemanduan bagi memfokuskan aspek keselamatan berbanding berorientasikan kelulusan ujian.
Menteri Loke Siew Fook berkata, penambahbaikan itu bukan hanya terpakai kepada penunggang motosikal tetapi semua pemandu kenderaan seperti kereta dan kenderaan berat.
“Isunya bukan hanya motosikal. Kita perlu tekankan bagaimana memandu secara lebih berhemah dan selamat, bukan sekadar lulus ujian.
“Aspek mengelak kemalangan dan kesedaran keselamatan mesti menjadi teras latihan,” katanya menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) di Dewan Rakyat.
Latiff sebelum itu meminta Kementerian Pengangkutan menyemak semula latihan pengambilan lesen motosikal berbanding hanya menumpukan aspek kelulusan dalam usaha mengurangkan kadar kematian jalan raya penunggang motosikal.
Dalam pada itu, Loke berkata buat masa ini kursus pemulihan bagi pemandu kenderaan berat yang digantung sudah dilaksanakan.
Katanya, pendekatan itu bukan berbentuk hukuman semata-mata, sebaliknya bertujuan mendidik dan membentuk semula sikap pemandu supaya lebih bertanggungjawab di jalan raya.
“Kita mahu satu budaya keselamatan disemai merentas semua aspek, motosikal, kereta dan kenderaan berat. Keselamatan mesti diutamakan,” katanya.
Sementara itu, Loke berkata pihaknya akan meminta Kementerian Kerja Raya melihat keperluan membina lorong khas motosikal di lebuh raya baharu.
Beliau berkata, walaupun Kementerian Pengangkutan amat menyokong pembinaan laluan khas itu tetapi ia tertakluk bawah bidang kuasa kementerian itu.
Loke juga mengakui kekangan Kementerian Kerja Raya untuk mereka bentuk semula lorong khas motosikal di lebuh raya sedia ada.
“Untuk masa depan keperluan laluan (khas) motosikal di lebuh raya baharu perlulah dilihat oleh pihak KKR,” katanya.
