‘Kalau 2 penggal bukan reformasi tapi reforkerusi’, kata Hadi

Presiden PAS Hadi Awang dakwa terdapat ‘undang-undang terpilih’ yang diamalkan oleh kerajaan khususnya dalam menangani rasuah. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Presiden PAS Hadi Awang berkata kerajaan tidak perlu mengambil masa sehingga dua penggal untuk melakukan reformasi.

Beliau merujuk pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz daripada kerajaan Bani Umaiyah yang berjaya melaksanakan pembaharuan menyeluruh dalam tempoh kira-kira dua tahun.

“Keikhlasannya jadi model reformasi tak perlu dua penggal. Kalau dua penggal bukan reformasi tetapi ‘reforkerusi’. Gilir-gilir dapat jawatan.

“Selepas orang ini orang lain pula. Kalau tak lakukan reformasi menyeluruh akan jadi kosong,” katanya ketika membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Marang berkata, Islam menuntut pemimpin menjadi contoh dan model kepada pentadbiran kerana jentera kerajaan lazimnya akan mengikut telunjuk kepimpinan di peringkat tertinggi.

Katanya, apabila kepimpinan menunjukkan integriti dan keikhlasan, maka budaya itu akan mengalir ke bawah dan membentuk keseluruhan sistem pentadbiran.

“Kalau yang di atas menjadi model yang betul, orang di bawah akan ikut, tetapi jika kepimpinan gagal menunjukkan teladan, kerosakan itu akan merebak,” katanya.

Sementara itu, Hadi mendakwa terdapat ‘undang-undang terpilih’ yang diamalkan oleh kerajaan khususnya dalam menangani rasuah.

Beliau mendakwa, sepatutnya bukan hanya penerima rasuah tetapi pemberi dan orang tengah juga patut dihukum akibat salah laku itu.

“Tetapi ini tidak diberikan tindakan. Ini berlaku kelemahan tindakan undang-undang yang menyebabkan ‘payung’ kerajaan bocor.

“Siapa sokong kerajaan diselamatkan dan siapa tak sokong kena (tindakan). Maka, kerajaan jadi pelindung kepada perasuah. Nak selamat sokong kerajaan,” dakwanya.

Author: admin