Bincang ‘heart to heart’ dengan PM sebelum umum dasar, Mas Ermieyati saran Fadhlina

Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin berkata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek perlu buat istikharah dan berbincang dengan perdana menteri sebelum umum sesuatu dasar.

PETALING JAYA: Seorang Ahli Parlimen pembangkang menyarankan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek untuk berbincang ‘hati-ke hati’ terlebih dahulu dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum mengumumkan sesuatu dasar negara.

Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berkata demikian selepas Anwar mengumumkan kerajaan membatalkan ujian saringan diagnostik sebagai kelayakan untuk kanak-kanak enam tahun memasuki Tahun 1.

“Pagi tadi (Ahli Parlimen) Tambun (Anwar) kata tak akan laksanakan diagnosis dulu. Minggu lepas menteri (pendidikan) kata ibu bapa (perlu) buat istikharah (dan) bincang ‘heart to heart’.

“Belum sempat ibu ayah istikharah (dan) bincang ‘heart to heart’ hari ini perdana menteri kata tak laksanakan. Macam mana ini.

“Saya cadang menteri pendidikan kena buat istikharah dulu sebelum apa-apa pengumuman dibuat dalam negara kita dan bincang ‘heart to heart’ dengan perdana menteri,” katanya ketika membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Anwar memberitahu Dewan Rakyat bahawa keputusan membatalkan ujian itu berikutan alat saringan tersebut dikhuatiri boleh bersifat diskriminasi dan memberi kesan psikologi kepada kanak-kanak.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2026-2035 yang memperkenalkan dasar membenarkan ibu bapa mendaftarkan anak-anak ke sekolah pada usia enam tahun, setahun lebih awal daripada umur kemasukan semasa iaitu tujuh tahun dilancarkan minggu lalu.

Author: admin