
PETALING JAYA: Seorang bekas peguam dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Teluk Intan hari ini selepas disabitkan kesalahan pecah amanah wang pelanggan berjumlah lebih RM1 juta.
Hakim Norhazimah Shaiffudin membuat keputusan itu terhadap Firdaus Rizal Abdul Manan, 46, yang mengaku bersalah terhadap sembilan pertuduhan menyeleweng wang berkenaan.
Beliau mengenakan hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan dan mengarahkan ia berjalan secara berasingan selain mengenakan hukuman denda RM90,000.
Berdasarkan pertuduhan, Firdaus Rizal didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Teluk Intan antara 2012 dan 2019.
Ketika menjatuhkan hukuman, Norhazimah berkata kesalahan yang dilakukan melibatkan jumlah yang besar, menyebabkan kerugian serta kesukaran yang teruk kepada mangsa.
“Sebahagian daripada mereka telah meninggal dunia dan tidak berpeluang melihat keadilan ditegakkan.
“Selain itu, tiada bukti menunjukkan tertuduh (Firdaus) mengambil langkah untuk memulangkan semula wang kepada mangsa.
“Dia mempunyai masa untuk memperbetulkan keadaan tetapi gagal berbuat demikian,” tambahnya.
Norhazimah turut berkata beliau telah mengambil kira tahap kesihatan Firdaus ketika memutuskan hukuman sebatan, dengan menyatakan bahawa tertuduh menghidap pelbagai penyakit.
“Mahkamah berpendapat bahawa sebatan yang berlebihan bukan hukuman yang sesuai untuk tertuduh,” katanya.
