270 sindiket dadah dibongkar, 737 anggota ditangkap pada 2025

Mohd Khalid Ismail
Ketua Polis Negara Khalid Ismail berkata polis menyita aset bernilai RM144 juta yang dikaitkan dengan sindiket dadah pada 2025.

PETALING JAYA: Polis berjaya membongkar 270 sindiket dadah dan penahanan 737 anggota kumpulan penjenayah itu tahun lalu, kata Ketua Polis Negara Khalid Ismail.

Khalid berkata jumlah sindiket yang dibongkarkan pada 2025 meningkat berbanding 2024, apabila 236 sindiket ditumpaskan dan 714 individu ditahan.

Beliau berkata polis juga merampas dadah dianggarkan bernilai kira-kira RM3.19 bilion, meningkat lapan kali ganda berbanding rampasan pada 2024 yang dianggarkan bernilai RM388 juta.

“Kita juga berjaya mengesan 21 makmal dadah tahun lalu, meningkat daripada 12 yang dibongkar pada 2024,” katanya pada perhimpunan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.

“Peningkatan tangkapan dan rampasan dadah ini bukan sahaja mencerminkan aktiviti pengedaran dadah yang semakin agresif, tetapi juga keberkesanan jabatan narkotik dalam membendung penularan dadah,” kata Khalid.

Khalid berkata jabatan berkenaan turut menyita aset bernilai RM144 juta yang dikaitkan dengan sindiket tersebut, dengan RM31 juta daripada aset itu telah dilucuthakkan.

Katanya, jumlah tangkapan berkaitan penyalahgunaan dadah menurun daripada 1,111 pada 2024 kepada 811 tahun lalu, iaitu pengurangan sebanyak 27%.

Menurutnya, penurunan itu mencerminkan kejayaan jabatan berkenaan dalam mengurangkan kes penyalahgunaan dadah dengan menumpukan tindakan terhadap sindiket.

Author: admin