
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi memutuskan tuduhan terhadap Ahmad Shah Rizal Ibrahim, suami kepada pengasas syarikat kosmetik Dnars, Faziani Rohban tidak berasas dan bersifat fitnah.
Justeru itu, Hakim Khadijah Idris dalam penghakimannya, Rabu lalu, mengarahkan adik Faziani, Faizul dan anakya Irdiena Hakim Jasman yang membuat dakwaan itu membayar ganti rugi RM100,000.
Kedua-duanya turut diarahkan memohon maaf secara terbuka melalui media arus perdana dan akaun Facebook peribadi masing-masing.
Shah Rizal memfailkan saman itu susulan penerbitan pelbagai kenyataan palsu defendan seperti dia berlaku curang semasa Faziani masih hidup, bersikap kejam terhadap anak tiri, cuba menyeleweng harta peninggalan isterinya, menggodam akaun Facebook Faizul, serta gagal menyediakan keperluan dan penjagaan anak tiri.
Faizul dan Irdiena turut mengemukakan tuduhan serius bahawa Ahmad Shah Rizal terlibat merancang pembunuhan Faziani yang meninggal dunia dalam kemalangan di Pattani, Thailand pada 18 Mei 2019.
Mahkamah bagaimanapun mendapati defendan gagal membuktikan semua tuduhan dan menyifatkannya fitnah.
Mahkamah turut mengeluarkan perintah injunksi kekal yang melarang kedua-dua defendan, termasuk ejen atau pekerja mereka, daripada menerbitkan sebarang kenyataan lanjut yang mengandungi tuduhan sama atau bersifat fitnah terhadap Shah Rizal pada masa hadapan.
Mengulas perkara itu, Shah Rizal berkata keputusan mahkamah diharap dapat membersihkan namanya dan mempertahankan maruah keluarga.
“Saya bersyukur kerana kebenaran telah ditegakkan.
“Fitnah yang dilemparkan bukan sahaja menjejaskan diri saya, tetapi juga maruah dan legasi Allahyarham,” katanya.
Pada prosiding itu, Shah Rizal diwakili Azhar Arman Ali, Nik Zarith Nik Moustapha dan Aina Syazwani Mansor.
Faizul dan Irdiena pula diwakili Shaharuddin Mohamed dan Nur Shafika Mustaffa.
