
PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi buat masa ini tidak bercadang untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) secara keseluruhan.
Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir berkata, AUKU merupakan rangka perundangan utama bagi penubuhan, penyelenggaraan dan pentadbiran universiti awam serta perkara-perkara berkenaan dengannya.
Katanya, Akta ini telah melalui pindaan sebanyak lapan kali melibatkan pelbagai skop seperti penambahbaikan tatakelola sehingga pengurusan aktiviti dan tatatertib pelajar.
“Pindaan ini membuktikan bahawa kementerian cakna dengan perubahan dan bersedia untuk mengkaji, meminda dan menggantikan apa jua akta atau peraturan yang sudah lapuk serta tidak relevan,” katanya katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Chow You Hui (PH–Raub), yang ingin mengetahui sama ada kementerian bercadang memansuhkan AUKU atau meminda akta itu bagi menjamin kebebasan akademik.
Auku digubal pada April 1971 dan sebahagiannya berada di bawah bidang kuasa perundangan Kementerian Pendidikan Tinggi. Akta ini memperuntukkan penubuhan, penyelenggaraan dan pentadbiran universiti serta kolej universiti awam.
Pada 1975, Auku dipinda bagi memberikan kerajaan kawalan penuh ke atas universiti, khususnya dalam pelantikan naib canselor yang bertanggungjawab melantik dekan, timbalan dekan dan ketua institut, menggantikan pemilihan secara demokratik dalam kalangan ahli akademik.
Zambry sebelum ini memberitahu Dewan Rakyat bahawa penambahbaikan terhadap peruntukan tertentu dalam Auku adalah lebih realistik berbanding memansuhkan akta itu sepenuhnya.
Beliau menjelaskan bahawa pemansuhan Auku akan mengakibatkan keperluan menggubal perlembagaan baharu bagi setiap universiti awam, yang akan mengambil masa serta mengganggu operasi institusi terlibat.
Bulan lalu, Persatuan Mahasiswa Baharu Universiti Malaya (Umany) menggesa agar jawatankuasa teknikal yang dibentuk pada 2018 untuk memansuhkan Auku dihidupkan semula, dengan menyatakan bahawa undang-undang kontroversi itu menyekat kebebasan pelajar universiti dan perlu digantikan dengan akta baharu.
Pada Mac tahun lalu, Pemuda Pakatan Harapan pula berkata ia akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk meneruskan usaha memansuhkan Auku sebagai sebahagian daripada agenda reformasi sistem pendidikan tinggi.
