Menang di Kinabatangan, Lamag belum bererti BN boleh bertenang

BN celebrating Naim Kurniawan Moktar Ismail Ayob

PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag berlangsung Sabtu lalu menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti berlipat kali ganda.

Di Kinabatangan, Naim Kurniawan Moktar yang membawa cabaran BN menang dengan majoriti 14,214 undi, lebih tiga kali ganda berbanding 4,330 majoriti diperoleh ayahnya Bung Moktar Radin semasa PRU15.

Begitu juga dengan Lamag menyaksikan calon BN Ismail Ayob meningkatkan majoriti kepada 5,681 undi berbanding 153 undi semasa PRN Sabah, November lalu. Ketika itu beliau bertanding atas tiket bebas dan tewas kepada Bung Moktar.

Dua PRK itu diadakan susulan kematian Bung Moktar pada 5 Dis lalu.

Membaca sentimen peringkat awal, ramai telah meramal kemenangan BN berdasarkan undi simpati terutama membabitkan Naim sehingga bendahari Pemuda Umno itu tampil meminta pengundi melihat keupayaanya bukan setakat anak Bung Moktar.

Namun keputusan di peti undi menunjukkan kemenangan itu bukan semata-mata dipacu faktor simpati. Pertambahan undi BN di Parlimen berbanding PRU15 serta PRN turut memperlihatkan kemenangan itu juga didorong sokongan rakan dalam kerajaan perpaduan Sabah.

Sejak penamaan calon pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) silih berganti hadir membantu kempen Naim Kurniawan serta Ismail, dengan mendapat mandat Pengerusi Hajiji Noor.

Antaranya Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Masiung Banah yang juga Adun Kuamut, satu daripada DUN bawah Parlimen Kinabatangan.

“Kita tiada masa untuk balas dendam, beremosi dan merajuk tetapi perlu fokus pembangunan serta penuhi keperluan rakyat,” katanya dalam siri kempen yang menggambarkan tiada lagi perseteruan selepas pertembungan hebat pada PRN Sabah.

Mesej diberikan jelas yang pengundi menyokong kerajaan Sabah diketuai GRS kerana yakin serta mahu kestabilan. BN dan Umno yang kini kembali dengan enam Adun turut menerima tempiasnya dengan kemenangan bergaya di Kinabatangan serta Lamag.

Pengundi mengundi calon disokong kerajaan perpaduan kerana mahu GRS meneruskan momentum membangunkan Sabah sekali gus mengabsahkan sokongan pasca PRN.

Bayangkan jika GRS turut meletak calonnya? Dengan kelebihan sebagai pemerintah negeri yang mampu menawarkan pelbagai insentif, pastinya boleh menarik pengundi. Namun gabungan itu ikhlas membantu rakan dalam kerajaan perpaduan.

Umno-BN belum bangkit 

Selepas berdepan kekalahan besar pada pilihan raya negeri tahun lalu, mungkin ada beranggapan kemenangan itu menjadi ‘tonik’ atau kebangkitan BN dan Umno di bumi Sabah. Tetapi realitinya masih jauh sama sekali.

Dua kawasan itu sememangnya kubu kuatnya. Namun trend sokongan semakin menurun dan berisiko terlepas ke tangan parti lain.

Misalnya di Parlimen Kinabatangan, walaupun majoriti 6,326 undi pada PRU12 ditingkatkan kepada 9,731 undi lima tahun kemudiannya, jumlahnya menurun sedikit menjadi 9,478 undi sewaktu PRU14.

Malah jumlahnya turun mendadak kepada 4,330 undi pada PRU15. Jadi jika ada pemimpin Umno mendakwa atau mendabik dada kejayaan melahirkan lebih ramai wakil rakyat, mungkin beliau perlu melihat realiti politik Sabah yang lebih kompleks, kerana kemenangan itu turut dipacu faktor lain.

Begitu juga DUN Lamag yang diperkenalkan pada PRN 2020. Ketika itu, Bung menang dengan majoriti 661 undi, namun menurun kepada 153 undi, jumlah yang agak tipis.

Berdepan sentimen tempatan atau lokal yang memainkan peranan pada PRN lalu, Umno-BN mungkin memerlukan kerjasama rakan parti berpangkalan dari Sabah untuk kembali bangkit dan ini perlu dibuat tanpa tuntutan berlebihan atau mengenang nostalgia lama.

Penolakan sentimen tempatan Warisan 

Masih segar dengan pencapaian menang 25 kerusi pada PRN lalu, Warisan turun ke gelanggang Kinabatangan dan Lamag dengan terus memainkan sentimen tempatan, seolah-olah hanya parti itu memahami denyut nadi rakyat Sabah.

Di setiap kempen fizikal dan media sosial, parti pimpinan Shafie Apdal itu sering memainkan naratif tempatan dan menggesa menolak ‘parti Malaya’ atau pihak bekerjasama dengannya.

Propaganda itu mengulangi kempen pilihan raya negeri. Tetapi keputusannya tetap sama, pengundi menolak mereka. Malah calonnya di Parlimen Kinabatangan mencatatkan kemerosotan undi.

Berbanding 12,512 undi diperoleh Mazliwati Malek pada PRU15, calon bagi PRK Saddi Abdul Rahman mendapat 5,638 undi. Kemerosotan ketara itu mungkin menggambarkan penolakan kempen dan ‘karamnya kapal’ hanya memainkan sentimen rakyat tanpa bukti nyata.

Mazliwati yang kali ini diturunkan di DUN Lamag pula meraih 1,588 undi. Hasrat untuk menambah suara Warisan di DUN kepada 26 wakil rakyat gagal.

Kegagalan itu juga turut menimbulkan persoalan sama ada Warisan mampu meneruskan momentum pada pilihan raya akan datang. Silap percaturan boleh ‘hilang’ satu daripada tiga Parlimen disandangnya kini.

Kesimpulannya, keputusan PRK Kinabatangan dan Lamag memberi mesej cukup jelas: rakyat memilih kestabilan, bukan nostalgia atau emosi semata-mata. Undi diberi bukan sekadar simpati tetapi sokongan kepada pemerintah Sabah bekerja.

Dalam politik negeri di bawah bayu ini, rakyat semakin matang — siapa mahu terus relevan, mesti pandai bekerjasama, jujur membaca realiti dan turun membangunkan kawasan bukan sekadar bercakap.

 

Penulis ialah pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Author: admin