
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang bahawa kerajaan bertanggungjawab secara vikarius atas kematian seorang penggali kubur ketika berada dalam tahanan polis tujuh tahun lalu.
Bagaimanapun, panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Azimah Omar membenarkan sebahagian rayuan kerajaan dengan mengetepikan ganti rugi teruk RM50,000 yang sebelum ini diberikan kepada ibu si mati, Fadhelah Othman.
Keputusan itu mengurangkan jumlah ganti rugi yang diberikan kepada Fadhelah atas kematian anaknya, Fadzrin Zaidi, kepada RM97,600 — merangkumi RM57,600 bagi tanggungan, RM30,000 bagi kehilangan dan RM10,000 sebagai ganti rugi khas.
Dalam alasan penghakiman, Hakim Lim Hock Leng berkata tiada bukti pelakuan melampau oleh enam anggota polis di balai polis Kepala Batas yang boleh menjustifikasikan pemberian ganti rugi teruk.
“Kecuaian pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kematian si mati sebelum waktunya, namun kebiasaannya hanya ganti rugi am akan dipertimbangkan,” katanya.
Lim berkata kecuaian semata-mata tidak secara automatik melayakkan pemberian ganti rugi teruk.
Turut bersidang dalam panel rayuan itu ialah Hakim Azizul Azmi Adnan.
Peguam M Visvanathan dan V Sanjay Nathan mewakili Fadhelah manakala Peguam Kanan Persekutuan Nur Ezdiani Roleb hadir bagi pihak kerajaan.
Pada 2024, Mahkamah Tinggi memutuskan polis cuai kerana gagal menghalang Fadzrin, 29, daripada membunuh diri ketika dalam tahanan. Hakim Anand Ponnudurai menganugerahkan ibunya sebanyak RM147,600 sebagai ganti rugi, termasuk ganti rugi teruk, serta kos RM50,000.
Dalam rayuan hari ini, Lim menyatakan Fadzrin telah ditahan di lokap selama dua hari sebelum kematiannya. Katanya, anggota polis di balai berkenaan telah melanggar tanggungjawab menjaga dengan gagal menjalankan rondaan berkala yang berpotensi mengelakkan tragedi itu.
Lim berkata rondaan sedemikian diwajibkan secara jelas di bawah Peraturan Lokap 1953.
“Peraturan 10 mewajibkan seorang tahanan diperiksa oleh pegawai perubatan secepat mungkin selepas dimasukkan bagi menentukan sama ada dia layak dipenjarakan,” katanya.
Lim turut berkata arahan tetap bertarikh 4 Dis 2017 yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Seberang Perai Utara meletakkan tanggungjawab ke atas anggota polis untuk memeriksa tahanan selang setiap jam.
“Ia juga menjadikan pegawai yang menjaga balai polis (di daerah berkenaan) bertanggungjawab memantau kamera litar tertutup (CCTV) apabila suspek ditahan,” katanya, sambil menambah bahawa arahan itu bertujuan mencegah tahanan daripada mencederakan diri sendiri.
Hakim itu turut melihat bahawa arahan oleh pegawai yang menjaga balai polis Kepala Batas — yang terkandung dalam memo bertarikh 11 Okt 2019 — supaya sistem CCTV beroperasi pada setiap masa telah diabaikan.
Lim berkata dalam kes ini, rakaman CCTV bagi keseluruhan tempoh penahanan Fadzrin tidak dikemukakan.
“Hanya sebahagian rakaman, yang dirakam menggunakan telefon bimbit, telah dikemukakan,” katanya, sambil menambah bahawa terdapat petunjuk rakaman penuh itu sengaja tidak didedahkan.
Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi adalah betul dalam membuat inferens buruk di bawah Seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950, katanya.
Panel itu juga mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa pegawai penyiasat, Winston Anak Raip, tidak boleh dipertanggungjawabkan atas kematian Fadzrin.
Fadzrin ditahan semasa satu serbuan dadah pada 2019 dan ditemui meninggal dunia di dalam lokap di balai polis Kepala Batas dua hari kemudian. Sijil kematiannya menyatakan punca kematian adalah konsisten dengan gantung diri.
Selepas inkues, koroner Norsalha Hamzah memutuskan bahawa Fadzrin telah membunuh diri, berdasarkan rakaman CCTV dan keterangan daripada sembilan saksi.
Beliau berkata tiada unsur jenayah yang membawa kepada kematian itu dan Fadzrin dipercayai berasa malu ditangkap polis memandangkan beliau bakal berkahwin tidak lama lagi.
