Isu kerusi: Setiausaha agung Amanah cuba reda kebimbangan

Muhammad Faiz Fadzil
Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil, kata keutamaan beliau adalah mengukuhkan perpaduan, susulan pertikaian mengenai kerusi di Melaka dan Johor. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil, cuba meredakan kebimbangan berhubung isu pembahagian kerusi bagi pilihan raya di Melaka dan Johor susulan perselisihan dengan Umno.

Menurut Faiz, pertikaian yang dibangkitkan hanya pandangan yang disuarakan atas kapasiti negeri, menegaskan keputusan muktamad akan dibuat di peringkat nasional.

“Soal pembahagian kerusi ini, itu akan dibincangkan di peringkat yang tertentu dan keputusan juga akan dibuat di peringkat yang tertinggi,” katanya, lapor Utusan Malaysia.

Faiz turut mengubah anggapan berhubung pertikaian tersebut, mengatakan ia isu dalam kalangan parti Melayu mengenai kerusi yang menjadi pilihan Melayu.

Penjelasan ini menyusuli perselisihan antara pemimpin Amanah dan Umno yang berbalas kenyataan berhubung kerusi di Melaka dan Johor, menjelang pilihan raya akan datang.

Faiz berkata keutamaan beliau adalah mengukuhkan perpaduan dalam kerajaan hari ini, agar dipilih semula oleh rakyat selepas pilihan raya.

Untuk rekod, kerajaan Melaka pimpinan BN turut dianggotai oleh PH, yang mempunyai wakil dalam majlis mesyuarat kerajaan negeri.

Di Johor pula, kerajaan negeri terdiri sepenuhnya daripada Adun BN, manakala wakil PH bertindak sebagai penyokong kerajaan dalam DUN.

Author: admin