Isteri bekas PTD didakwa terima hasil aktiviti haram RM5,000

Salwani Anuar @ Kamaruddin
Salwani Anuar @ Kamaruddin isteri bekas panglima tentera darat Hafizuddeain Jantan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU: Seorang isteri kepada bekas panglima tentera darat (PTD), Hafizuddeain Jantan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM5,000 tahun lalu.

Salwani Anuar @ Kamaruddin, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Mohd Azhar Othman.

“Saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” katanya selepas pertuduhan dibacakan.

Dia didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM5,000 yang dimasukkan ke akaun banknya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah cawangan bank di Kerteh dekat Besut pada 16 Jan 2025.

Pertuduhan ke atas Salwani dikemukakan di bawah Subseksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) serta boleh dihukum di bawah Subseksyen 4 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram ketika kesalahan dilakukan atau RM5 juta, mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Maziah Mohaide menawarkan ikat jamin sama yang diberikan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebanyak RM30,000 dengan dua penjamin, bersama syarat perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

“Memandangkan saya akan memohon kes ini dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama kes tertuduh sebelum ini serta suaminya (Hafizuddeain), tiada halangan sekiranya jaminan sama digunakan hari ini terhadap tertuduh.”

Peguam Fahmi Abd Moin berkata, pihaknya tiada halangan dan bersetuju dengan tawaran jaminan diberikan timbalan pendakwa raya.

Author: admin