
KUALA LUMPUR: Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membenarkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang digantung sebelum ini beraksi semula, menurut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
FAM dalam kenyataan memaklumkan perkara itu selepas CAS membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan dikemukakan tujuh pemain terbabit.
“Keputusan ini bermakna hukuman penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak yang dikenakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) terhadap tujuh pemain Harimau Malaya tersebut ditangguhkan buat sementara waktu.
“Mereka dibenar meneruskan karier serta menyertai sebarang aktiviti berkaitan bola sepak sehingga keputusan muktamad rayuan di CAS dibuat,” katanya dalam hantaran Facebook malam tadi.
Tujuh pemain itu terdiri daripada Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Héctor Hevel.
Jawatankuasa Tatatertib Fifa sebelum ini mengenakan hukuman penggantungan 12 bulan dan denda CHF2,000 (RM10,560) terhadap tujuh pemain itu atas dakwaan melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib Fifa (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen dengan FAM pula didenda CHF350,000 (RM1.8 juta).
Pada 3 Nov lalu, Fifa menolak rayuan FAM dan tujuh pemain warisan itu serta mengekalkan hukuman dikenakan Jawatankuasa Tatatertibnya terhadap FAM dan tujuh pemain warisan terbabit.
Susulan itu, FAM membawa kes itu ke CAS.
