
PETALING JAYA: Seorang Ahli Parlimen kerajaan mencadangkan pembentukan ibu negara ketiga di Borneo, sebagai tambahan bagi Kuala Lumpur sebagai ibu negara perlembagaan dan legislatif, serta Putrajaya sebagai pusat pentadbiran dan eksekutif.
Rodziah Ismail (PH-Ampang) berkata ibu negara yang dicadangkan di Borneo boleh berfungsi sebagai pusat untuk menempatkan institusi kehakiman persekutuan dan timbang tara antarabangsa.
Membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, Rodziah berkata cadangan itu akan meletakkan Malaysia setanding dengan Afrika Selatan, yang mempunyai tiga ibu negara iaitu Pretoria, Cape Town dan Bloemfontein.
Beliau berkata rancangan itu boleh meningkatkan ekonomi Sabah dan Sarawak, memacu pembangunan di kawasan luar bandar dan pedalaman, serta membantu mengurangkan kepadatan bandar dan tekanan ke atas infrastruktur di Semenanjung Malaysia.
Rodziah berkata ibu negara ketiga itu boleh menempatkan agensi keselamatan, kawalan sempadan, perkhidmatan imigresen, pusat diplomatik, dan badan kerjasama sosio-ekonomi serantau, terutamanya dalam Asean dan Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina East Asean Growth Area (BIMP-EAGA).
“Banyak manfaat yang boleh Malaysia perolehi dengan penubuhan ibu kota ketiga di Borneo ini termasuk memperteguhkan kedaulatan negara, keselamatan, dan kawalan sempadan, sambil meningkatkan kerjasama diplomatik serta integrasi sosio-ekonomi dalam Asean dan BIMP-EAGA,” katanya.
“Menumpukan fungsi kehakiman, perundangan, dan timbang tara di Borneo juga boleh meningkatkan keberkesanannya serta mengurangkan konflik kepentingan antara sistem kehakiman, timbang tara dengan dunia korporat, komersial dan kewangan.”
Beliau berkata rancangan itu boleh memacu pertumbuhan ekonomi tempatan melalui peningkatan perdagangan dan pelaburan antarabangsa, yang seterusnya akan meningkatkan pendapatan isi rumah dan individu melalui perluasan peluang pekerjaan dan perniagaan kecil.
