Lelaki dijel, denda kerana kitar semula tembaga tanpa kebenaran

Pengusaha pusat kitar semula Chong Hsu Wee, dijatuhi hukuman itu oleh Mahkamah Sesyen Klang pada 21 Jan lalu.

PETALING JAYA: Seorang pengusaha pusat kitar semula di Klang dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM150,000 selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan, termasuk menjalankan perniagaan secara haram.

Chong Hsu Wee, 40, dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Sesyen Klang pada 21 Jan lalu, menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.

Dalam satu kenyataan hari ini, jabatan itu berkata ketiga-tiga pertuduhan dikemukakan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.

Selain mengendalikan pusat kitar semula tanpa lesen, Chong didakwa menjalankan kerja tanpa kelulusan bertulis ketua pengarah JAS serta menjalankan aktiviti kitar semula tembaga tanpa penilaian impak alam sekitar (EIA) yang diluluskan.

Jabatan itu berkata Hakim Mahkamah Sesyen Sharifah Hascindie Syed Omar membuat keputusan tersebut selepas mengambil kira kepentingan awam.

Menurutnya, Chong dihadapkan ke mahkamah susulan serbuan yang dijalankan di Kapar, Klang, pada Februari tahun lalu.

Pemeriksaan mendapati terdapat timbunan sisa plastik, logam dan serpihan wayar yang dikategorikan sebagai sisa terjadual di bawah kod SW422.

SW422 merupakan kod sisa terjadual bagi campuran sisa terjadual dan tidak terjadual di bawah Peraturan-Peraturan Sisa Terjadual.

Author: admin