Penilaian asas Tahun 4 kenal pasti kelemahan murid lebih awal, kata Anwar

cikgu
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Rancangan Pendidikan Negara dirangka bagi memastikan sistem pendidikan negara lebih bersedia melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.

BUTTERWORTH: Pelaksanaan penilaian asas pada Tahun 4 di bawah Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 bertujuan mengenal pasti kelemahan murid dalam kemahiran membaca, menulis dan mengira lebih awal, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan intervensi dan pemulihan dapat dilaksanakan lebih awal, sebelum murid melangkah ke peringkat menengah berbanding hanya bergantung kepada penilaian pada Tahun 6.

Tegasnya, dasar itu dirangka bagi memastikan sistem pendidikan negara lebih bersedia melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berdaya saing, termasuk dalam bidang teknologi digital serta kecerdasan buatan (AI).

“Dasar pendidikan negara (RPN) yang baharu memberi penekanan kepada peningkatan mutu pendidikan demi menjamin masa depan anak-anak,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran blok baharu Hospital Seberang Jaya di Perai.

Anwar turut menyentuh cadangan kemasukan prasekolah seawal usia lima tahun sebagai langkah persediaan awal sebelum kanak-kanak memasuki Tahun 1 pada usia enam tahun.

Menurutnya, kerajaan turut menyediakan kemudahan prasekolah percuma di sekolah bagi memastikan semua murid memperoleh asas pendidikan mencukupi sejak awal.

Katanya, isu pendidikan tidak wajar terus dipolemikkan dengan perkara yang boleh memecahbelahkan masyarakat, sebaliknya perlu menumpukan kualiti pembelajaran serta pembinaan nilai insan rakyat berbilang kaum.

Beliau berkata, kerajaan bersedia memberi ruang kepada pelbagai aliran pendidikan, termasuk sekolah agama, sekolah antarabangsa dan aliran bahasa, dengan syarat pelajar menguasai bahasa Melayu serta memahami sejarah Malaysia sebagai asas perpaduan nasional.

Jelasnya, pelajar daripada pelbagai sistem pendidikan yang memenuhi syarat itu wajar diberi peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, termasuk kolej dan universiti dalam bidang tertentu.

Tegasnya, pendekatan inklusif itu penting bagi memastikan sistem pendidikan negara kekal adil dan saksama, serta memberi peluang kepada semua, namun tetap berpaksikan identiti kebangsaan.

“Pada masa sama, sistem pendidikan bukan saja perlu menekankan penguasaan teknologi dan kemahiran baharu, malah berperanan membentuk insan mempunyai nilai kemanusiaan, saling menghormati antara kaum serta memahami kepelbagaian budaya di Malaysia.”

Author: admin