Cadangan susun semula ahli jawatankuasa teknikal MTPMA63 akan diperhalus

Fadillah Yusof
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata, penyusunan semula ahli Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 akan diperincikan ketika mesyuarat yang akan dimulakan oleh Mustapha Sakmud.

KUCHING: Cadangan untuk menyusun semula ahli Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) akan diperincikan sewaktu mesyuarat jawatankuasa teknikal yang akan diadakan dalam masa terdekat, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 berkata, susulan rombakan Jemaah Menteri pada 16 Dis tahun lepas, cadangan itu akan diperhalusi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Mustapha Sakmud.

“Nanti saya akan perincikan dalam mesyuarat teknikal yang akan datang. Kita akan perincikan dan disebabkan baru perubahan lagi dari segi komposisi Jemaah Menteri, kita sudah ada kembali menteri yang menjaga hal ehwal Sabah dan Sarawak (Mustapha).

“Jadi beliau (Mustapha) akan memulakan mesyuarat, kemudian baru dibawa ke jawatankuasa peringkat teknikal sebelum kita bawa kepada majlis perundingan pada peringkat tertinggi MTPMA63,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Anugerah Kebangsaan Shell LiveWire Malaysia 2025 hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Premier Sarawak Sim Kui Hian supaya jawatankuasa MTPMA63 disusun semula bermula tahun ini, dengan melibatkan secara langsung Menteri Kewangan, Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta agensi-agensi utama lain.

Fadillah berkata, perbincangan berkaitan cadangan itu telah pun diadakan dan ketika ini, wakil daripada Kementerian Kewangan serta EPU terdiri daripada peringkat pegawai sememangnya terlibat dalam jawatankuasa berkenaan.

Mengenai isu lain berkaitan MA63, beliau berkata, perbincangan mengenai penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak masih dalam proses dan melibatkan pentafsiran perundangan serta keperluan sokongan dua pertiga Ahli Parlimen.

Dari segi dasar dan prinsip, terdapat persetujuan terhadap penambahan kerusi Parlimen, namun realisasinya bergantung kepada hasil rundingan semasa.

“Kalau melibatkan penambahan kerusi Parlimen melebihi 25%, itu memerlukan sokongan dua pertiga Parlimen dan itulah cabaran utama. Libat urus perlu dibuat,” katanya.

Author: admin