Akses digital pacu perubahan Orang Asli Kampung Kelinsing

NADI MADANI-KAMPUNG ORANG ASLI SELINSING SEPANG
Golongan muda di Kampung Orang Asli Kelingsing memanfaatkan kemudahan di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) untuk mencari ilmu.

SEPANG: Suatu ketika dahulu, perkampungan Orang Asli Kelinsing dekat sini bergerak sederhana yang berteraskan pertanian dn tradisi komuniti turun temurun.

Namun hari ini, denyut nadi kampung itu berbeza seiring transformasi digital dan keazaman yang tinggi untuk mengubah nasib diri serta keluarga.

Ros Budi.

Ros Budi, 46, daripada suku Temuan antara penduduk yang berjaya meningkatkan taraf kehidupan hasil bantuan kerajaan termasuk pembukaan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) tahun lalu.

Nadi bukan hanya menyediakan akses Internet dan telekomunikasi lebih baik malah turut memberi ilmu usahawan yang dimanfaatkan sepenuhnya oleh Ros.

Ibu kepada anak perempuan berusia 15 tahun itu sebelum ini bekerja sebagai kerani dengan pendapatan sekitar RM800 hingga RM900 sebulan yang dianggap sekadar ‘cukup makan’ untuk membantu suaminya.

Ros sedar minat menjalankan perniagaan andaman sahaja tidak mencukupi untuk berjaya sebaliknya memerlukan ilmu terutama dalam bidang pemasaran digital.

“Daripada situ saya terus ambil peluang dan tekadkan diri mengubah kehidupan saya sekeluarga,” katanya ketika ditemui FMT.

Ros memanfaatkan sepenuhnya platform media sosial seperti TikTok dan Instagram untuk memperkenalkan perkhidmatannya dan usaha tanpa jemunya itu dipermudahkan menerusi akses Internet yang kini hanya di hujung jari menerusi Nadi.

Beliau kini mampu menarik nafas lega dan berbangga kerana pelamin perkahwinan dan solekan hasil tangannya telah dikenali ramai yang sebelum ini tidak pernah terlintas di fikirannya.

“Saya bangga dengan diri saya sekarang,” katanya mengimbau kesusahan ditempuhi yang menyaksikan banyak air mata tumpah demi memastikan impian tidak terkubur.

Nadi, inisiatif di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berfungsi sebagai hab pendidikan digital dan dilengkapi Internet berkelajuan tinggi, membuka peluang baharu untuk penduduk belajar, berniaga dan berinteraksi secara digital.

Setakat ini, kursus usahawan anjuran Nadi Kampung Orang Asli Kelinsing berjaya melahirkan beberapa usahawan aktif dengan purata pendapatan tambahan hingga RM1,600 sebulan.

NADI MADANI-KAMPUNG ORANG ASLI SELINSING SEPANG
Nadi turut bantu tingkatkan perniagaan penduduk di perkampungan Orang Asli itu yang menjadi Kampung Angkat Madani di bawah Kementerian Komunikasi.

Kampung Orang Asli Kelingsing itu menjadi Kampung Angkat Madani di bawah Kementerian Komunikasi, dengan kemudahan Nadi sebagai sebahagian daripada pelaksanaan projek tersebut.

Berkongsi manfaat pusat Nadi, Lili Aina Rianika, 15, berkata kemudahan itu membantu golongan muda sepertinya meneroka kreativiti digital.

Lili Aina menggunakan masa lapangnya untuk belajar mencipta poster kreatif dan mencari pengetahuan baharu di laman sesawang, menggunakan komputer riba disediakan.

“Saya dapat banyak idea mencipta poster sangat kreatif,” kongsi Lili.

Rosmaini Baat.

Impak positif itu turut dikongsi Tok Batin Rosmaini Baat, kepimpinan generasi keenam suku Temuan di Kampung Orang Asli Kelinsing.

Hampir empat tahun setengah memegang amanah sebagai Tok Batin, Rosmaini berkata kewujudan pusat Nadi serta balai budaya di bawah projek Kampung Angkat Madani menjadi titik perubahan besar buat komuniti kampung.

Beliau melihat sendiri bagaimana anak-anak dan belia kampung kini lebih mudah mendapat akses pembelajaran yang sebelum ini terhad di sekolah.

“Ia satu perubahan kepada penduduk Kampung Orang Asli Kelinsing khususnya generasi belia dan kanak-kanak.

“Melalui Nadi kami mendapat banyak maklumat seperti program yang mampu meningkatkan diri disediakan kerajaan” katanya.

Author: admin