
PETALING JAYA: Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mengenal pasti sisa buangan kolam takungan beberapa ladang babi yang tidak lagi beroperasi berkemungkinan menjadi punca pencemaran di pesisiran pantai Tanjung Sepat, di Kuala Langat.
Luas menyatakan pihaknya telah menjalankan pemeriksaan tapak di Kampung Tumbuk, Tanjung Sepat semalam, susulan laporan media mengenai pencemaran yang dikaitkan aktiviti penternakan babi di hulu sungai.
“Semakan lanjut Luas ke beberapa premis penternakan babi di lokasi mendapati premis-premis tersebut tidak lagi beroperasi,” katanya dalam hantaran di Facebook.
“Walaubagaimanapun, terdapat beberapa kolam takungan dalam kawasan premis terlibat disyaki telah mengalirkan air sisa ke kawasan parit berhampiran.
“Dipercayai aliran berwarna hitam yang ditemui mengalir ke persisiran pantai adalah saki-baki aliran daripada kolam takungan premis berkenaan semasa beroperasi.”
Justeru, Luas mengeluarkan notis di bawah Seksyen 121(1) Enakmen Luas 1999 kepada pihak-pihak yang terlibat, untuk pihak berkenaan menghentikan aliran, membuat kerja-kerja pembersihan, dan melaksanakan langkah kawalan serta pencegahan di lokasi berkenaan.
The water authority has also collected samples for analysis by the chemistry department to support further enforcement actions against the pig farming activities in the area.
Luas juga telah melakukan pensampelan di lokasi terlibat dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) bagi tujuan analisis kualiti air.
Terdahulu, FMT melaporkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor sedang menyiasat dakwaan sisa babi telah mencemari sebahagian kawasan laut di luar pantai Tanjung Sepat.
Pengarah Wandi Yadzid Yaakob mengesahkan pegawainya telah diarah untuk menentusahkan aduan berkenaan.
Siasatan itu menyusuli dakwaan oleh Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari, bahawa ladang babi di kawasan tersebut telah melupuskan sisa tanpa rawatan yang sewajarnya atau pematuhan kawal selia, dengan aliran masuk ke Selat Melaka.
