
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan ibu Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin menarik balik notis usul mengarahkan Hospital Kota Tinggi, Johor membekalkan salinan laporan bedah siasat pertama pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai itu.
Hakim Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Ummu Haiman Bee Daulatgun, 46, yang diwakili peguam Aiman Haziq Saiful Kamal.
Terdahulu, Aiman memaklumkan permohonan itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan bedah siasat dan perubatan pertama Syamsul pada 30 Dis lalu daripada pihak hospital serta pendakwaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Parvin Hameedah Natchiar tidak membantah permohonan itu.
Aiman yang dibantu peguam Muhammad Syawal Mohd Razak ketika ditemui di luar mahkamah berkata, pihaknya memohon untuk menarik balik usul itu dengan kebebasan memfailkannya semula jika terdapat perkembangan baharu pada masa depan.
Beliau berkata, notis usul itu difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam 30 Okt lalu bagi mendapat perintah mengarahkan pengarah Hospital Sultan Ismail dan/atau pengarah Hospital Kota Tinggi membekalkan salinan laporan bedah siasat pertama serta nota keterangan daripada Bahagian Kecemasan dan Kemalangan hospital berkenaan kepada peguam keluarga si mati.
Aiman turut memaklumkan pihaknya sedang menunggu perkembangan lanjut selepas kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada 2 Dis lalu, Jabatan Peguam Negara mengarahkan kes kematian Syamsul diklasifikasikan bawah kesalahan membunuh untuk siasatan lanjut polis.
Pada 19 Ogos lalu, Ummu Haiman memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi antaranya untuk membolehkan bedah siasat kedua dijalankan dan mencadangkan prosiding inkues dimulakan bagi menyiasat kematian anaknya.
Syamsul, 22, dilaporkan meninggal dunia 28 Julai 2025 di Hospital Kota Tinggi ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat di Ulu Tiram dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu, Selangor, keesokannya.
