Atlet Olimpik saman MBPJ, kerajaan Selangor larang pelihara anjing di kondo

shah alam court
Bekas atlet Olimpik Noraseela Khalid memfailkan saman mencabar Seksyen 8(2) Undang‑undang Kecil Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing (MBPJ) 2007 yang melarang penduduk memelihara anjing dalam pangsapuri.

PETALING JAYA: Atlet Olimpik, Noraseela Khalid memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap kerajaan Selangor dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi mencabar larangan menyeluruh ke atas pemeliharaan anjing dalam pangsapuri.

Noraseela dalam samannya berhujah, Undang‑undang Kecil Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing (MBPJ) 2007 bercanggah undang‑undang persekutuan, termasuk Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Pengurusan Strata.

Seksyen 8(2) undang‑undang kecil itu melarang penduduk memelihara anjing di unit pangsapuri dalam kawasan MBPJ.

Noraseela yang mendiami sebuah kompleks kondominium di sini berkata, MBPJ tiada kuasa undang‑undang melaksanakan larangan menyeluruh itu.

Noraseela Khalid
Noraseela Khalid.

Beliau mendakwa larangan itu melanggar hak pemilik haiwan peliharaan mengguna dan menikmati harta mereka sepenuhnya kerana tiada bukti menunjukkan anjing atau haiwan peliharaan lain mengganggu jiran.

Noraseela yang mewakili negara dalam acara 400m lari berpagar wanita di temasya Olimpik London 2012 memohon pengisytiharan mahkamah bahawa undang-undang kecil itu tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan.

Author: admin