Ambil kira syor Umno sebelum bentang semula PSB, kata Asyraf

Asyraf Wajdi Dusuki
Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki, berkata RUU Pembaharuan Semula Bandar perlu dibentang dalam bentuk baharu.

PETALING JAYA: Umno menyambut baik keputusan Jemaah Menteri menarik balik pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) bagi memberi ruang kepada penambahbaikan draf itu.

Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki, berkata walaupun parti itu tidak menentang pembangunan bandar, beberapa pindaan perlu diperhalusi seperti dicadangkan jawatankuasa parti mengenai PSB.

“RUU PSB hanya wajar dibentangkan semula di Parlimen dalam bentuk baharu setelah semua cadangan penambahbaikan diambil kira,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, jurucakap kerajaan perpaduan Fahmi Fadzil mengumumkan keputusan Kabinet menarik balik RUU PSB bagi tujuan penambahbaikan.

Katanya, langkah itu diputuskan selepas mengambil kira pandangan Ahli Parlimen yang menyuarakan kebimbangan mengenai RUU berkenaan, anggota Jemaah Menteri, serta ‘rakan-rakan Umno’.

RUU ini bertujuan membangunkan semula kawasan perumahan lama dan usang bagi menjamin kesejahteraan penduduk serta memastikan pembangunan bandar yang mampan.

Namun, bantahan daripada pihak pembangkang dan sebahagian wakil blok kerajaan, termasuk Barisan Nasional dan tujuh Ahli Parlimen PKR, menghalang RUU tersebut daripada diluluskan pada sidang Dewan Rakyat Ogos lalu.

3 Okt lalu, Konvensyen PSB Umno dipengerusi Johari Ghani mengusulkan tiga resolusi utama, termasuk 14 cadangan khusus bagi menutup kelemahan ketara dalam draf RUU PSB dibentangkan sebelum ini.

Konvensyen juga mahu pampasan kepada pemilik rumah melibatkan nilai penuh hartanah, kos gangguan semasa pemindahan, serta pampasan akibat kehilangan pendapatan – bukan semata-mata berdasarkan nilai pasaran semasa.

Antara cadangan termasuk memastikan hanya pemaju benar-benar berwibawa dan kukuh kewangan dibenarkan melaksanakan projek, dengan penguatkuasaan ketat seperti Bon Pelaksanaan dan penalti lewat siap (LAD).

Nilai ambang persetujuan juga dicadangkan sekurang-kurangnya 95% diperlukan bagi bangunan berusia kurang 50 tahun dan 90% bagi yang lebih lama.

Author: admin