
PETALING JAYA: Umno dilihat cuba menjaga keseimbangan apabila membenarkan pemimpinnya mengkritik DAP, namun kekal dalam kerajaan perpaduan sebagai strategi mengukuhkan sokongan pengundi Melayu, menurut penganalisis.
Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, serangan parti itu terhadap sekutunya merupakan langkah terancang bagi meyakinkan pengundi Melayu bahawa Umno masih komited mempertahankan hak dan kepentingan mereka.
“Ia satu strategi yang disengajakan — untuk kekal dalam kerajaan perpaduan tanpa kehilangan sokongan akar umbi yang telah menyokongnya selama beberapa generasi, namun menyusut dengan ketara dalam PRU15.
“Keadaan ini bertambah buruk selepas pilihan raya apabila Umno berundur daripada pendirian ‘tiada Anwar, tiada DAP’,” katanya kepada FMT, merujuk kepada keputusan parti itu menyertai kerajaan perpaduan pimpinan Pakatan Harapan (PH).
Fauzi berkata beliau tidak akan terkejut jika kepimpinan tertinggi Umno telah memberi restu terhadap cubaan tokoh seperti Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh untuk memburukkan DAP, meskipun kedua-dua parti itu bersekutu dalam pentadbiran Madani.
“Umno cuba meredakan sentimen anti-DAP untuk tempoh tertentu selepas PRU15, tetapi merasakan ia tidak berkesan dan kini dengan PRU akan datang (PRU16) semakin hampir, parti itu menutup laluan tersebut dan sebaliknya seiring dengan mesej anti-DAP.
“Jika tidak dapat menewaskan mereka, sertailah mereka,” katanya, walaupun beliau meragui strategi itu akan berjaya.
Tahun lalu, Presiden Umno Zahid Hamidi berulang kali menegaskan bahawa kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan PH pada PRU16.
Namun, nada pengerusi BN itu dilihat berubah susulan gesaan kebelakangan ini supaya Umno keluar daripada kerajaan perpaduan.
Sebagai reaksi, Zahid berkata Umno akan terus setia kepada kerajaan perpaduan sehingga PRU16 tiba.
Dalam perhimpunan agung Umno, Setiausaha Agung parti, Asyraf Wajdi Dusuki, mengesahkan bahawa parti itu masih belum membuat keputusan mengenai pakatan bagi PRU16.
‘Umno pragmatik kerana tersisih bermakna tidak relevan secara politik’
Asrul Hadi Abdullah Sani, naib presiden bersekutu di firma perunding The Asia Group, menyifatkan langkah Umno sebagai penyesuaian semula yang pragmatik, bukannya perubahan strategi secara menyeluruh.
“Penjelasan bahawa pakatan BN-PH bagi PRU16 belum dimuktamadkan, bertujuan menangani kegusaran yang semakin meningkat dalam kalangan akar umbi Umno terhadap kerjasama dengan PH, khususnya DAP.
“Pada masa yang sama, kesediaan Umno untuk berpatah balik dan menyertai pembentukan kerajaan negeri Sabah menunjukkan parti itu kekal sangat pragmatik apabila penyingkiran berisiko menjadikannya tidak relevan secara politik.”
Beliau merujuk kepada keputusan Umno menyokong Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor dalam pembentukan kerajaan Sabah pada November, walaupun kedua-dua pihak bertanding sebagai seteru dalam PRN ke-17 yang lalu.
Asrul berkata pakatan BN-PH boleh memberi manfaat peribadi kepada Zahid kerana ia meningkatkan peluang beliau untuk mengekalkan kerusi Bagan Datuk yang disandangnya sekian lama pada PRU16, terutama apabila beliau menang tipis dengan majoriti 348 undi pada 2022.
“Umno sedang mengurus sentimen dalaman sambil mengekalkan fleksibiliti strategik, yang menunjukkan bahawa relevan dari segi politik, bukannya ideologi, akan terus membentuk keputusannya menjelang PRU16,” katanya.
