
KUALA LUMPUR: Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin menolak sebarang pembentukan “kolaborasi agung” Melayu, selagi Umno terus bekerjasama dengan DAP.
Beliau mempersoalkan cadangan Presiden Umno, Zahid Hamidi, sama ada ia bermaksud mempelawa semua parti Melayu bersatu di bawah Umno – langkah yang menurut Muhyiddin sukar berlaku susulan hubungan Umno dengan DAP ketika ini.
“Kami tak boleh terimanya. Atau adakah Zahid kini kata beliau mahu berpisah dengan Pakatan Harapan?” soalnya dalam wawancara bersama beberapa wakil media malam tadi.
Umno dan DAP yang dahulunya seteru, kini sekutu dalam kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan mereka pernah bekerjasama dalam beberapa PRN serta PRK.
Umno menafikan label “UmDAP”, yang digunakan pengkritik untuk menggambarkan ia di bawah DAP. Timbalan Presiden, Mohamad Hasan, baru-baru ini menyifatkan kerjasama itu sekadar “perjanjian pentadbiran”.
Muhyiddin, yang melepaskan jawatan pengerusi Perikatan Nasional berkuat kuasa 1 Jan lalu berkata, tiada perbincangan untuk menyertai gabungan baharu.
“Dalam PN, kita belum membincangkan kumpulan mana. Dan kita percaya untuk masa depan, semua perkara berkaitan kerjasama dengan parti lain di luar gabungan perlu dibincang bersama. Kemudian, kita perlu bersetuju. Jadi sehingga kini, tiada perkara seperti itu.”
Ditanya sama ada beliau akan menemui Zahid, katanya, pertemuan boleh diadakan hanya jika Zahid menjelaskan niatnya.
“Pertemuan boleh diadakan bila-bila masa, tetapi saya fikir, untuk kepastian, perkara pertama yang perlu didahulukan – saya nak tahu apa yang beliau maksudkan dengan apa yang beliau katakan.”
Menurutnya, rundingan tidak boleh membabitkan DAP, kecuali ada penjelasan dan tujuan jelas.
“Melainkan beliau kata tujuan pertemuan ini untuk menunjukkan satu bentuk kerjasama, politik dan sebagainya, saya tidak akan setuju perjanjian dengan parti seperti DAP. Ia perlu dijelaskan.”
Pada Perhimpunan Agung Umno 2025 minggu lalu, Zahid mencadangkan “kolaborasi agung” untuk menyatukan parti Melayu-Islam di bawah satu payung.
Tegasnya, cadangan itu tidak akan mengancam kerajaan perpaduan dan gabungan itu akan bermula sebagai pakatan tidak rasmi tanpa perlu membubarkan parti.
Katanya, belum ada jawatankuasa untuk kerjasama yang dicadangkan, tetapi Umno akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi parti Melayu dan Islam lain.
Terdapat usaha menyatukan parti Melayu-Islam sebelum ini, termasuk melalui Muafakat Nasional yang dibentuk Umno dan PAS pada 2019, serta inisiatif diketuai bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.
