SPRM buka 3 kertas siasatan NGO didakwa salah guna dana awam

AZAM BAKI
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata 26 kertas siasatan turut dibuka berkaitan isu perolehan, termasuk pembelian aset dan projek pembangunan.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka tiga kertas siasatan membabitkan dakwaan penyalahgunaan dana awam oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi tempoh 2023 hingga 2026.

Ketua Pesuruhjayanya, Azam Baki, berkata beberapa NGO dan koperasi yang mendapat peruntukan kerajaan didapati menyalahgunakan dana itu, manakala sejumlah syarikat menerima pinjaman kerajaan disiasat atas dakwaan penyelewengan.

“Beberapa kertas siasatan turut dibuka berkaitan isu perolehan, termasuk pembelian aset dan projek pembangunan dengan jumlah keseluruhan 26 kertas siasatan direkodkan,” katanya menurut Berita Harian ketika siaran langsung di studio Kelantan FM, Kota Bharu.

Beliau berkata, kes sedemikian tidak terhad negeri tertentu kerana trend sama dapat dilihat di seluruh negara.

“Ia sama di semua negeri, malah di peringkat ibu pejabat, jika sesebuah negeri lebih besar dan menguruskan lebih banyak dana, kerugian yang terbabit biasanya lebih tinggi.”

Azam berkata, 13 kertas siasatan dibuka bagi kes penguatkuasaan di peringkat negeri yang kebanyakannya membabitkan kesalahan kecil serta terpencil.

“Jadi, saya sering mengingatkan pegawai tidak membazir tenaga menangani perkara remeh kerana tindakan tatatertib boleh diambil melalui saluran lain,” katanya sambil menambah SPRM kini menumpukan sumber kepada kes besar dan berimpak tinggi.

Author: admin