PN dah terima permohonan kini terpulang MIC sertai kami, kata Muhyiddin

M.Saravanan-S.A Vigneswaran
Presiden MIC SA Vigneswaran (kanan) dan timbalannya, M Saravanan di AGM parti itu tahun lalu. Menurut Muhyiddin dua pemimpin itu sering berhubung dengannya berkait hasrat parti itu sertai PN.

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) telah menerima permohonan MIC untuk menyertai gabungan itu, dan keputusan muktamad kini bergantung kepada kepimpinan parti berkenaan, kata bekas pengerusi PN, Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata PN bersetuju menerima permohonan MIC seawal tahun lalu dan kini menunggu kata putus parti komponen Barisan Nasional (BN) itu.

“Ia bukan satu rahsia mereka mengemukakan permohonan. Kami telah mempertimbangkannya. Malah, keputusan untuk menerima MIC telah dibuat tahun lalu,” katanya dalam temu bual bersama beberapa wakil media terpilih malam tadi.

Bekas perdana menteri itu, yang melepaskan jawatan pengerusi PN berkuat kuasa 1 Jan, berkata Presiden MIC, SA Vigneswaran, telah diberikan mandat oleh parti untuk menentukan hala tuju politiknya serta masa yang sesuai bagi membuat keputusan tersebut.

“Saya sentiasa berhubung dengan Vigneswaran dan M Saravanan (timbalan presiden) apabila mereka datang berbincang,” katanya yang berharap MIC buat keputusan yang memihak kepada gabungan itu.

Muhyiddin turut berkata penyertaan MIC akan membentuk semula perwakilan politik masyarakat India dalam atau lingkungan PN, sekali gus memberikan lebih banyak pilihan kepada pengundi.

“Menariknya, jika MIC menyertai kami, ia seolah-olah semua parti politik India berada dalam atau berkaitan dengan PN,” katanya, sambil menambah bahawa pengundi India berhak memilih kecenderungan politik mereka.

Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa PN telah meluluskan permohonan MIC semasa mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 9 Dis tahun lalu, dengan memetik sumber Bersatu dan PN.

Laporan itu menyatakan Muhyiddin beri penjelasan mengenai sepucuk surat daripada MIC serta perbincangannya dengan pemimpin parti itu, dan menekankan kepentingan MIC dalam memperkukuh jentera pilihan raya serta menarik sokongan bukan Melayu khususnya pengundi India.

Bagaimanapun, langkah itu dapat bantahan Parti Rakyat India Malaysia, sebuah parti komponen PN, yang menggesa kemasukan MIC ditangguhkan kerana parti itu masih sebahagian daripada BN.

Spekulasi MIC meninggalkan BN telah berlegar sejak sekian lama, khususnya selepas mesyuarat agung tahunan ke-79 parti itu pada November lalu, apabila perwakilan meluluskan usul yang beri kuasa kepada kepimpinan untuk mempertimbangkan langkah tersebut berikutan rasa tidak puas hati terhadap peranan parti itu dalam kerajaan.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin Umno berulang kali menolak spekulasi itu. Setiausaha Agung BN, Zambry Abd Kadir, berkata malam tadi bahawa gabungan itu tidak menerima sebarang pemberitahuan rasmi daripada MIC dan menegaskan bahawa parti itu masih sebahagian daripada BN.

Author: admin