
KUALA LUMPUR: Perjanjian perdagangan Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) yang ditandatangani Oktober lepas tidak mengikat Malaysia untuk bergantung sepenuhnya pada teknologi nuklear dari AS atau mana-mana negara lain.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Fadillah Yusof berkata, Malaysia masih boleh memperoleh atau membeli reaktor nuklear, rod bahan api, atau bahan nuklear lain dari negara lain jika tawaran mereka lebih baik daripada AS, sama ada dari aspek teknikal mahupun komersial.
“Kerajaan ingin menegaskan bahawa kedaulatan dasar tenaga dan nuklear Malaysia kekal terpelihara,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.
“Malaysia kekal bebas untuk menilai dan memilih rakan kerjasama paling sesuai dengan mana-mana negara pembekal teknologi nuklear termasuk dengan Rusia, China, Perancis dan Korea berdasarkan keupayaan teknologi, kos, tahap keselamatan, pemindahan teknologi serta pematuhan kepada piawaian antarabangsa.”
Fadillah berkata demikian menjawab Azli Yusof (PH-Shah Alam) yang bertanya sama ada perjanjian dikenali sebagai ART itu akan memberi kesan pada dasar nuklear Malaysia dalam konteks kerjasama dengan Rusia, China, Perancis dan Korea Selatan.
Perkara 5.3 menetapkan Malaysia tidak boleh memperoleh bahan nuklear seperti reaktor nuklear, rod bahan api atau uranium diperkaya ‘daripada negara-negara tertentu’, kata Azli.
Fadillah yang juga timbalan perdana menteri berkata, Perkara 5.3 perlu dibaca secara menyeluruh.
Beliau berkata, walaupun ayat pertama klausa itu seolah-oleh mengehadkan keupayaan Malaysia memperoleh reaktor dan bahan nuklear daripada ‘negara-negara tertentu’, ayat terakhir klausa itu membenarkan Malaysia memutuskan perolehan berdasarkan pertimbangan komersial, teknikal dan keselamatan, selaras kepentingan negara.
“Oleh itu, artikel ini tidak menyatakan sebarang halangan untuk Malaysia menjalinkan hubungan dan kerjasama dengan negara-negara pembekal teknologi dalam pelbagai aspek berkaitan tenaga nuklear termasuk latihan, penyelidikan, pembangunan keupayaan, keselamatan nuklear, radiasi dan lain-lain,” katanya.
Pada November, Fadillah berkata, Malaysia akan mempunyai akses kepada teknologi dan reka bentuk loji kuasa dari negara lain dengan menandatangani pakatan perdagangan nuklear awam bersama AS.
Tambahnya, Malaysia sedang mengkaji keperluan menandatangani Perjanjian Nuklear Awam, atau ‘Perjanjian 123’, yang menetapkan syarat bagi negara yang mengimport teknologi nuklear AS termasuk memberi jaminan bahawa ia digunakan hanya untuk tujuan aman.
Pada Julai, Malaysia dan AS menandatangani memorandum persefahaman (MoU) kerjasama nuklear awam strategik, langkah yang disifatkan Menteri Luar Mohamad Hasan sebagai ‘pencapaian penting’ dalam usaha memajukan keselamatan tenaga dan pembangunan mampan.
