
KUALA LUMPUR: Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya tidak berkaitan dengan sumbangan yang didakwa datang dari Arab Saudi, berdasarkan ‘maklumat kemudian’ yang diperolehnya.
Bekas perdana menteri itu membuat pengakuan tersebut ketika disoal balas oleh peguam SRC International, Kwan Will Sen, dalam saman sivil yang difailkan syarikat itu dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd, bagi mendapatkan semula wang yang didakwa disalahgunakan daripada dana syarikat.
Kwan: Pada saat ini, adakah anda masih berpegang bahawa RM42 juta itu adalah daripada sumbangan Arab Saudi?
Najib: Pada ketika itu, saya menyangka ia adalah sumbangan Arab Saudi.
Kwan: Kebenaran dalam fikiran anda – jika saya boleh gunakan istilah itu – pada saat ini, adakah RM42 juta itu tiada kena-mengena dengan sumbangan Arab Saudi?
Najib: Berdasarkan maklumat kemudian, ya ya.
Kwan: Jadi, anda bersetuju dengan kenyataan saya?
Najib: Ya.
Terdahulu, Kwan mendesak Najib mengakui bahawa pembelaannya berhubung ‘sumbangan Arab Saudi’ telah ditolak sepenuhnya oleh mahkamah dalam prosiding jenayah yang dihadapkan terhadapnya.
Kwan: Pembelaan khusus mengenai sumbangan Arab Saudi ini telah ditolak oleh semua peringkat mahkamah (dalam kes rasuah SRC International). Adakah kenyataan itu betul?
Najib: Ya, tetapi saya perlu jelaskan kerana saya tidak berpeluang memberi penjelasan penuh di Mahkamah Persekutuan. Sebab itu dalam semakan, salah seorang hakim – seorang hakim kanan – bersetuju dengan pendirian kami. Semasa semakan itu, beliau membuat kesimpulan bahawa saya tidak mendapat perbicaraan yang adil.
Kwan: Walau apa pun, dapatan majoriti mengekalkan kesimpulan (bahawa dana itu bukan sumbangan Arab Saudi). Itu betul, bukan?
Najib: Ya. Malangnya, ya.
Kwan seterusnya menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan jenayah 1MDB Najib telah memutuskan tiada bukti dokumentari yang menyokong pembelaan ‘sumbangan Arab Saudi’ beliau.
Kwan: Dalam perbicaraan 1MDB di Mahkamah Tinggi – dan saya tahu anda telah merayu terhadap keputusan itu – Hakim Collin (Lawrence Sequerah) juga membuat dapatan yang sama, bukan?
Najib: Ya.
Najib, 72, dipenjarakan sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyalahgunakan RM42 juta dana SRC. Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Pada 29 Jan 2024, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan tempoh penjaranya kepada enam tahun dan mengurangkan denda kepada RM50 juta.
Pada 26 Dis , Sequerah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.387 bilion ke atas Najib susulan sabitan dalam kes 1MDB, dengan hukuman penjara itu bermula sebaik sahaja beliau selesai menjalani tempoh pemenjaraan semasa.
Najib diwakili oleh peguam Farhan Shafee.
Prosiding di hadapan Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung esok.
