Bekas pengetua maahad mengaku tak salah 23 tuduhan pecah amanah

mahkamah sesyen majistret butterworth
Mahkamah Sesyen Butterworth membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000, selain perlu serah pasport kepada mahkamah dan lapor diri di pejabat SPRM setiap bulan sehingga kes selesai. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Bekas pengetua sekolah agama bantuan kerajaan, Maahad Al-Imam Nawawi (MIN) di Kepala Batas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth atas 23 pertuduhan pecah amanah membabitkan dana sekolah berjumlah RM138,673.80 pada 2019.

Berita Harian melaporkan Zaidi Salleh, 58, mohon dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan di depan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Tertuduh atas kapasiti pengetua dan setiausaha lembaga pengelola sekolah MIN didakwa melakukan pecah amanah dengan memindahkan wang berjumlah RM138,673.80 yang sepatutnya digunakan untuk penyelenggaraan sekolah, kepada dirinya dan lain-lain perbelanjaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada Julai hingga Disember 2019 melalui 23 transaksi pemindahan wang dalam talian membabitkan nilai serendah RM300 hingga RM35,000.

Zaidi didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat, serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Pengetua MIN sejak 2019 hingga 2023 itu, kini bertugas sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan gred DG10 Sekolah Menengah Kebangsaan Kepala Batas.

Hakim membenarkan Zaidi diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin, selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 26 Feb ini untuk penyerahan dokumen.

Author: admin