
PETALING JAYA: Ciri penyuntingan imej dan penjanaan video melalui chatbot kecerdasan buatan (AI) Grok melibatkan kandungan memudaratkan berunsur lucah, seksual dan sumbang telah dikawal selia dan tidak lagi boleh disalahgunakan, menurut platform media sosial X.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, wakil platform X bagi rantau Asia Pasifik mengesahkan perkara tersebut dalam pertemuan kira-kira sejam di Menara Komunikasi, Putrajaya, hari ini.
“Jadi, semua pengguna tidak lagi boleh melakukan penyuntingan gambar atau video untuk menghasilkan gambar atau video lucah ataupun tidak sopan seperti yang telah berlaku sebelum ini,” katanya, lapor Bernama.
“Pengesahan ini dibuat (X) dan yang hadir dalam mesyuarat selain saya sendiri (ialah) Timbalan Menteri (Teo Nie Ching) dan pegawai kanan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Penjelasan lanjut berhubung perkara itu akan dimaklumkan dalam Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) pada sidang Dewan Rakyat esok, tambahnya.
Selain itu, Fahmi berkata, pihak X turut menyatakan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Komunikasi dan SKMM dalam inisiatif Kempen Internet Selamat, termasuk usaha memastikan platform itu lebih selamat untuk semua lapisan masyarakat.
“Jadi di situ saya lihat di pihak pengurusan X, mereka menyatakan kesungguhan untuk pastikan platform X menjadi lebih selamat dan akan bekerjasama dengan semua pihak termasuk Kementerian Komunikasi dan juga SKMM,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, SKMM melaporkan permohonan penurunan kandungan di platform X berada pada kadar 50% setakat hari ini.
“Jumlah itu tidak terlalu banyak kalau nak dibandingkan dengan beberapa platform lain. Tapi ia tidak bermaksud tidak ada masalah dalam platform tersebut.
“Jadi saya lihat ini satu perkembangan yang positif,” katanya.
Fahmi berkata, beliau turut mengarahkan pasukannya supaya mewujudkan jaringan kerjasama yang lebih erat dengan pihak X bagi memastikan persekitaran Internet lebih selamat, khususnya untuk kanak-kanak dan keluarga.
Pada 11 Jan lepas, SKMM mengarahkan sekatan sementara terhadap akses kepada AI Grok bagi pengguna di Malaysia susulan penyalahgunaan berulang kali untuk menjana kandungan lucah dan kandungan seksual eksplisit.
Susulan itu, Fahmi dilaporkan berkata, SKMM sedang meneliti tindakan perundangan terhadap platform X susulan kegagalan aplikasi AI miliknya, Grok, mematuhi undang-undang Malaysia berkaitan keselamatan dalam talian.
