
KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Ghani bersetuju berkongsi cadangan semakan semula Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) dengan pembangkang melalui kaukus Parlimen dwipartisan yang ditubuhkan meneliti perjanjian itu.
Johari berkata, terdapat keperluan menangani isu berbangkit perjanjian perdagangan berkenaan, yang telah mencetuskan salah faham meluas, seperti kebimbangan mengenai kedaulatan negara, dan menyelesaikannya sebelum perjanjian tersebut diratifikasi.
“Jadi itu saya punya ‘commitment’ kepada Yang Berhormat (Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin). Bila saya dah ada saya punya ‘proposal’ ini, kita duduk bincang. Boleh Yang Berhormat? Yang Berhormat jangan tak datang,” katanya di Dewan Rakyat.
Johari menjawab pertanyaan Hamzah (PN-Larut), yang menggesa kerajaan melibatkan kaukus Parlimen dalam proses semakan semula perjanjian terbabit.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedang mendapatkan jaminan bertulis daripada AS bahawa kedaulatan ekonomi Malaysia tidak akan terjejas di bawah ART.
Anwar berkata, kebimbangan utama kerajaan adalah satu klausa dalam perjanjian yang mungkin membatasi kebebasan Malaysia menentukan hala tuju dasarnya sendiri.
Beliau juga menyatakan perjanjian itu belum dimuktamad dan masih terdapat ruang perbincangan.
Malaysia menandatangani ART dengan AS pada 26 Okt lalu, satu langkah dikritik beberapa pihak yang mendakwa ia tidak mengikut Perlembagaan serta akan menggugat kedaulatan ekonomi negara dengan memaksa Putrajaya mematuhi peraturan dan regulasi perdagangan serta pelaburan Washington.
Menjawab kritikan tersebut, Anwar berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) telah dirujuk mengenai perjanjian itu sebelum ia ditandatangani, dan menegaskan Malaysia boleh menamatkan perjanjian berkenaan jika perlu.
AGC juga menyatakan kedaulatan dan kepentingan nasional Malaysia kekal dilindungi sepenuhnya di bawah ART, dan pelaksanaan kewajipan serta komitmen di bawah perjanjian tertakluk kepada undang-undang domestik dan prosedur domestik berkuat kuasa.
Bulan lalu, Johari berkata, kementerian akan meneliti ART dan akan mengusahakan rundingan semula sekiranya terdapat mana-mana terma didapati bercanggah kepentingan negara.
