
PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memanggil ketua pengarang akhbar China Press berhubung satu hantaran yang didakwa mengandungi kesilapan terjemahan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata beliau juga mengarahkan kementeriannya meneliti perkara itu secara menyeluruh.
“Saya minta SKMM untuk terus kendalikan siasatan dan juga memanggil ketua pengarang media tersebut.
“Justeru, kita tunggu hasil siasatan penuh yang akan diperoleh kelak,” katanya yang dipetik Kosmo! sebagai berkata.
Isnin lalu, China Press dalam satu hantaran di Facebook memuat naik laporan titah Sultan Ibrahim dengan tajuk ‘tidak tahu bahasa Melayu, jangan duduk Malaysia’ sebelum menukarnya kepada ‘kalau ada yang tidak terima bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia’.
Sementara itu, Fahmi meminta semua pihak tidak berlebih-lebihan dan menyerahkan kepada pihak berkuasa menyiasat mengikut undang-undang isu melibatkan bekas wartawan FMT, Rex Tan, lapor Buletin TV3.
“Jangan kita berlebih-lebihan dalam menghukum orang. Biar polis lakukan siasatan kerana itu adalah bidang kuasa mereka berdasarkan undang-undang,” katanya.
Katanya, video tular yang dimuat naik berkaitan isu itu bukan terbitan organisasi media berkenaan tetapi dibuat oleh orang awam dan disebarkan dengan gambaran mengelirukan, termasuk penggunaan perkataan yang tidak selari dengan soalan sebenar yang ditanya wartawan.
Tambahnya, pihak yang menyebarkan kandungan bagi mengapikan sentimen juga perlu disiasat secara adil.
