
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menolak permohonan Semantan Estate (1952) Sdn Bhd untuk mendapatkan tempoh masa tambahan bagi memperoleh dokumen menjelang penilaian pampasan yang perlu dibayar oleh kerajaan.
Hakim Mahkamah Tinggi Roslan Mat Nor, memutuskan bahawa pertikaian yang telah lama berlarutan itu tidak boleh ditangguhkan lagi, sekali gus mengekalkan pendengaran penilaian yang ditetapkan pada April.
Roslan berkata walaupun plaintif menyatakan ia memerlukan dokumen tambahan bagi menyediakan laporan penilaian yang menyeluruh, sebarang penangguhan lanjut adalah tidak adil kepada kedua-dua pihak.
Beliau mengambil maklum bantahan defendan terhadap permohonan itu, yang berhujah kelewatan akan menyebabkan bayaran faedah yang lebih tinggi, walaupun kelewatan tersebut bukan disebabkan oleh defendan.
“Demi kepentingan keadilan kepada kedua-dua pihak, dan dengan mengambil kira sejarah panjang kes ini yang berpunca daripada pelbagai proses serta perintah mahkamah, mahkamah tidak lagi boleh menangguhkan dan dengan itu menolak permohonan untuk menangguhkan pendengaran,” katanya.
Mahkamah turut menetapkan 16 Mac bagi pengurusan kes.
Terdahulu, peguam Semantan, Janet Chai, berkata dokumen yang dimohon berkaitan perkara yang bermula kira-kira 70 tahun lalu. “Ia tidak mudah diperolehi, dan oleh itu masa diperlukan untuk sebarang carian dijalankan,” katanya.
Chai menambah bahawa syarikat itu tidak cuba melengahkan prosiding, sebaliknya memerlukan tempoh masa yang munasabah sebagai sebuah entiti swasta yang tidak mempunyai akses kepada atau kawalan terhadap rekod berkenaan.
Dokumen yang dimohon termasuk dokumen pengambilan tanah dan pelan ukur, yang menurut Semantan adalah perlu bagi menentukan pampasan di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960.
Kes pertikaian membabitkan Semantan Estate bermula pada 2003 apabila syarikat itu menyaman kerajaan mendakwa tanah terbabit diambil secara tidak sah.
Tanah itu terletak di kawasan utama Jalan Duta dikenali sebagai Duta Enclave yang menempatkan bangunan kerajaan, termasuk Stadium Hoki Nasional, Institut Integriti Malaysia, Arkib Negara, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman, Zura Yahya membuat keputusan memihak kepada Semantan Estate dan memutuskan kerajaan mengambil alih tanah itu secara tidak sah dan syarikat terbabit mempunyai kepentingan benefisial terhadapnya.
Pada 24 Jun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Lee Swee Seng (kini hakim Mahkamah Persekutuan) turut memerintahkan jumlah pampasan yang diputuskan Mahkamah Tinggi ditolak RM1.325 juta yang telah dibayar kerajaan pada 1956.
Pada 13 Nov tahun lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Semantan untuk mendapatkan kebenaran merayu, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan dan membuka laluan kepada prosiding penilaian yang kini di hadapan Mahkamah Tinggi.
Peguam Persekutuan Kanan, Nur Zul Izzati Zulkipli, hadir mewakili kerajaan.
