KPKT peruntuk RM4 bilion untuk projek kesejahteraan rakyat

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata projek itu adalah amanah rakyat dan akan dilaksanakan dengan penuh integriti, tanpa rasuah atau salah guna kuasa. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjadikan nilai amanah serta kerja berpasukan sebagai teras utama dalam melaksanakan peruntukan kira-kira RM4 bilion bagi projek kesejahteraan rakyat tahun ini.

Menterinya, Nga Kor Ming, berkata setiap tanggungjawab yang dipikul warga kementerian merupakan amanah rakyat dan perlu dilaksanakan dengan penuh integriti, tanpa rasuah atau salah guna kuasa.

“Peruntukan itu melibatkan pelbagai projek prasarana termasuk taman awam, pasar, kemudahan komuniti serta inisiatif pihak berkuasa tempatan (PBT) yang memberi kesan langsung kepada kualiti hidup rakyat,” katanya ketika menyampaikan Amanat Menteri KPKT 2026.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kejayaan pelaksanaan projek berkenaan bergantung kepada semangat kerja berpasukan di semua peringkat perkhidmatan awam, sambil menolak pendekatan bekerja secara terpisah atau budaya silo.

“Tiada kejayaan boleh dicapai secara bersendirian. Kita mesti bergerak sebagai satu pasukan, tanpa ego dan tanpa saling menyalahkan,” katanya.

Nga berkata, pengukuhan nilai amanah dan kerjasama diyakini mampu memastikan setiap projek yang dirancang dilaksanakan dengan berkesan serta benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

Author: admin