
PETALING JAYA: Perlis dilihat berpotensi menjadi lokasi strategik baharu bagi memperkukuh kerjasama Malaysia–Australia, khususnya dalam sektor pertanian moden, logistik serta pembuatan makanan, kata Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Danielle Heinecke.
Heinecke berkongsi perkara itu kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika mengiringi baginda menerusi Program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat
Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Kuala Perlis.
Beliau berkata, potensi yang dilihat itu juga selari dengan agenda pembangunan mampan yang mampu memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat.
Menurutnya, Heinecke berkata, kepakaran Australia boleh dimanfaatkan secara bersepadu bersama sumber tempatan apabila Perlis dilihat mempunyai kedudukan strategik serta potensi pertumbuhan jangka panjang yang memberangsangkan.
“Antara fokus utama yang dikenal pasti ialah pembangunan pertanian moden berteknologi tinggi, logistik sebagai pemacu ekonomi masa hadapan, di samping pembuatan makanan bernilai tambah yang menggabungkan kepakaran antarabangsa dengan bahan mentah serta tenaga kerja tempatan.
“Dalam masa terdekat juga, kita melalui Bahagian Pertanian berhasrat bekerjasama dengan Perlis dalam program kawalan makhluk perosak atau ‘pest control’ bagi tanaman mangga,” katanya.
Mengulas lanjut, Heinecke berkata beliau juga kagum dengan usaha serta komitmen tinggi yang diberikan terhadap pembangunan hab komuniti dan pelbagai inisiatif pembangunan Projek Transformasi Diraja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis oleh Raja Muda Perlis.
“Usaha yang dilaksanakan dengan sepenuh hati dan jiwa itu telah berjaya mengubah wajah perkampungan berkenaan menjadi sebuah komuniti yang luar biasa, bukan sahaja dari segi
fizikal, malah dari aspek sosial dan kebersamaan masyarakat,” katanya.
Inisiatif itu mendapat kerjasama padu daripada MAIPs, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, pelbagai agensi, pihak swasta, orang perseorangan, serta masyarakat setempat.
Dalam pada itu, Heinecke turut menyaksikan majlis penyampaian sumbangan agihan zakat MAIPs oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra kepada tiga penerima iaitu Jaslin Jaafar dari Kampung Tengah, Hamidah Kamis dari Kampung Hujung Tanjung serta Rus Abdullah dari Kampung Seberang Alor.
Hadir sama Setiausaha Pertama Suruhanjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur, Angela Rendall.
