Rewcastle Brown mahu tuduhan fitnah Sultanah Terengganu digugur

rewcastle
Pada Disember 2025, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengetepikan sabitan dan hukuman penjara dua tahun terhadap Clare Rewcastle Brown kerana memfitnah Sultanah Nur Zahirah secara jenayah.

PETALING JAYA: Wartawan British, Clare Rewcastle Brown, meminta pertuduhan fitnah jenayah melibatkan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah digugurkan atas alasan beliau menetap di United Kingdom (UK) dan tidak mungkin dapat hadir ke mahkamah Malaysia.

Editor Sarawak Report itu mengemukakan rayuan melalui representasi difailkan kepada Jabatan Peguam Negara selepas Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengetepikan sabitan dan hukuman penjara dua tahun terhadapnya kerana memfitnah Sultanah secara jenayah.

Bulan lalu, Hakim Radzi Harun memutuskan sabitan tersebut tidak sah memandangkan Rewcastle Brown tidak hadir secara fizikal di mahkamah ketika menghadapi pertuduhan jenayah. Yang Amat Arif turut mengarahkan agar kes berkenaan dibicarakan semula.

Dalam surat kepada Jabatan Peguam Negara yang dilihat FMT, peguam Rewcastle Brown daripada firma Guok Partnership, menyatakan ‘seseorang hanya boleh dianggap sebagai ‘tertuduh’ jika dibawa ke hadapan mahkamah, yang mana perkara tersebut tidak berlaku dalam kes ini’.

Surat itu juga kemuka hujah bahawa pertuduhan jenayah sepatutnya ditarik balik memandangkan Rewcastle Brown dan dua yang lain telah didapati bertanggungjawab oleh Mahkamah Rayuan atas fitnah dalam saman sivil difailkan Sultanah.

Sultanah Nur Zahirah memulakan saman pada 2018 dengan mendakwa Rewcastle Brown memperlekehkan baginda dalam bukunya, ‘The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Expose’, menceritakan kisah di sebalik siasatan terhadap skandal 1MDB.

Sultanah mendakwa kenyataan itu membayangkan baginda terlibat amalan rasuah, campur tangan dalam pentadbiran Terengganu, dan menggunakan status baginda mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), iaitu nama asal bagi 1MDB.

Baginda selanjutnya mendakwa kenyataan tersebut boleh ditafsirkan sebagai bermaksud baginda membantu Low Taek Jho, atau Jho Low, untuk mendapatkan jawatannya sebagai penasihat kepada TIA.

Pada 2022, Mahkamah Tinggi memutuskan ada kenyataan dalam buku berkenaan tidak memfitnah Sultanah.

Namun, pada Disember 2023, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan itu dan memerintahkan Rewcastle Brown, penerbit Chong Ton Sin, dan syarikat pencetak Vinlin Press Sdn Bhd, membayar ganti rugi RM300,000 serta kos RM120,000.

Pada September 2024, Rewcastle Brown dan defendan bersama yang lain gagal memperoleh kebenaran mencabar keputusan berkenaan di Mahkamah Persekutuan.

Author: admin